13 tahun perjalanan hijrah, TV AlHijrah jadi sumber ketenteraman masyarakat

SETITIS tinta hitam di atas sekeping kain putih akan cepat menangkap pandangan. Menyedari kehadiran sebuah stesen berkonsepkan Islam sentiasa mendapat sorotan masyarakat, Stesen ini sentiasa meletakkan pendekatan ilmu dan adab dalam penghasilan rancangannya.

Perjalanan yang dimulakan secara rasmi 13 tahun lalu dan diperingati sejarahnya pada ulangtahun penubuhan pada 19 Julai ini meninggalkan jejak-jejak sejarah sebuah perjuangan mendidik masyarakat mengenal Allah dan mengguna pakai ajaran agama sebagai cara hidup.

Mengatur langkah pertama dengan siaran percubaan pada November 2010, TV AlHijrah cuba mendekati penonton dengan hidangan rancangan pembikinan atau “the making of” program yang akan disiarkan sepenuhnya sebulan selepas itu. Antaranya ialah rancangan Kenduri Kendara, Menu Alam, Nak Ke Mana Tu, Ketika Cinta Bertasbih, Misteri Alam Melayu, Nota Al Zahra dan Sinar Baru.

Menjadi tradisi hingga kini, pada waktu itu TV AlHijrah turut mengetengahkan rancangan Kapsul Khas “Laporan Haji”, siaran pertama di Malaysia yang membawa laporan dari Tanah Suci di dalam rangkuman khas setiap hari dengan terbitan secara penuh di dalam siaran percubaan ini.

Rancangan yang menyediakan liputan seputar ibadah haji musim tersebut bertepatan dengan hasrat Stesen menjadi pelopor dalam kandungan berencah agama melalui slogan Segalanya Bermula Di Sini. Justeru itu ia menjadi pemangkin kepada program pertama yang seumpamanya di Malaysia yang membawa lintas langsung dari Mekah.

Selain itu, walaupun masih pada peringkat percubaan, TV AlHijrah berusaha menyiarkan beberapa rancangan utama sepenuhnya seperti rancangan bual bicara antarabangsa yang mendapat pengiktirafan di Amerika, Kanada, Korea, Turki dan banyak lagi; iaitu The Dr. Oz Show yang membincangkan pelbagai topik kesihatan serta gaya hidup secara langsung dengan penonton di studio.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris ketika menjawab soalan wartawan dalam Sidang Media di TV AlHijrah petang tadi.

Mengorak langkah dengan harapan meluaskan dakwah ke seluruh pelosok dunia yang disalurkan melalui slogan TV Kita Untuk Semua membawa TV AlHijrah yang menjadi pilihan penduduk Selangor, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak menembusi sempadan negara dan menjadi tontonan warga Singapura, Brunei, Thailand (Selatan Thailand) dan Indonesia (Riau dan Kalimantan).

Mengutamakan program variasi genre, TV AlHijrah tidak menumpukan program berbentuk dakwah sahaja, tetapi menyenaraikan pelbagai rancangan berunsurkan hiburan, kisah penghijrahan individu dan perkongsian nilai-nilai murni untuk menjala golongan sasaran dari pelbagai latar belakang sosial dan agama. Perkembangan ini disalurkan melalui slogan Islam Is First Class circa 2016, Rapatkan Saf dan slogan Rahmatan Lil Alamin pada tahun 2018.

Bagaikan sebatang pohon zaitun di puncak gunung, TV AlHijrah yang berusia sebelas tahun pada 2011 diterpa langkisau duga apabila negara mula berdepan dengan pandemik COVID-19. Ribut pandemik yang banyak menumbangkan pohon-pohon sekitar dihadapi dengan penuh kebijaksanaan oleh TV AlHijrah agar terus tahan tegak di pergunungan.

Menerima ujian yang selari dengan pertumbuhan hayat dan tanggungjawab yang lebih besar ini, TV AlHijrah berusaha menjadi stesen televisyen Islam yang menggerakkan potensi dan memperkasakan ekonomi ummah melalui slogan TV Kita Untuk Semua, Bangkit Bersama TV AlHijrah ini sempena sambutan ulang tahun ke-11. Melalui slogan ini Stesen aktif menyuntik semangat kepada masyarakat Malaysia untuk tidak mudah berputus asa memerangi COVID-19.

Motivasi dan saranan untuk masyarakat terus bangkit dihembus melalui hidangan pelbagai rancangan menarik, segar dan membaja nurani seperti Solidariti Yasin 2.0, selain memperkenalkan slot baharu iaitu Deen dan Kesuma untuk tujuan murni tersebut, melayakkan ‘remaja’ ini mendapat pengiktirafan Global Halal Excellence Awards 2020 dan The BrandLaurette The World’s First E-Branding Awards 2020 dan 2021 atas usaha keras serta daya tahan menghadapi cabaran ekonomi dalam fasa pandemik.

Antara rancangan berbentuk kerohanian yang dihidangkan di slot Deen seperti Cinta Ilmu, Tawajjuh, Ngaji On The Go, Riwayat Akhir Zaman, Bila Hijab Terbuka, Kembara Mahsyar, Hakikat Tarikat Makrifat dan E-Kaunter Netizen mendapat sambutan hangat masyarakat yang sedang huru-hara emosi dan mentalnya mendapat belaian kata-kata dan panduan dari para asatizah yang lunak pada penerimaan mereka.

Tidak hanya membantu dari segi pengisian rohani, TV AlHijrah juga mengambil bahagian menaiktaraf masa depan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk menguasai pasaran ekonomi domestik dan bersaing di peringkat antarabangsa dengan menawarkan peluang mempromosi produk jauh lebih murah berbanding harga pasaran semasa.

Noratikah Mohd Dol, Eksekutif Penjenamaan TV AlHijrah memegang buku Cinta Ilmu terbitan TV AlHijrah yang akan dilancarkan sempena Ulangtahun ke-13 TV AlHijrah pada 19 Julai nanti.

Usaha yang berkonsepkan ‘taawun’ (tolong menolong atas kebaikan) ini terbukti banyak membantu usahawan yang terjejas teruk akibat COVID-19 untuk bangkit semula dan melihat masa depan dengan lebih positif; sekaligus membuktikan gesaan agama untuk menjaga hubungan horizontal itu bukanlah bersifat teori semata-mata.

Inisiatif penenang jiwa (healing) yang dibuat dalam waktu genting ketika negara berdepan musibah dan kesuraman ekonomi sebegini memposisikan TV AlHijrah sebagai stesen pilihan kerana cakna dan empati dengan kesusahan dan penderitaan warga Malaysia ketika itu.

Berdasarkan pengalaman selama lebih sedekad di medan penyiaran negara dan menempuh ujian terbesar pada ulangtahun ke-11 tersebut, TV AlHijrah tampil agresif dan progresif dalam membangunkan jiwa ilmu dan penyatuan ummah dalam perjalanan seterusnya.

Menjawab pertanyaan tentang peranan TV AlHijrah dalam menghadapi kemelut perselisihan pendapat dalam masyarakat pada sesi Sidang Media di TV AlHijrah petang tadi, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata Stesen ini akan terus menyediakan rancangan yang boleh membentuk masyarakat memahami ilmu dan adab dalam bermuamalat sesama manusia.

“Ramai orang pandai, tetapi pandai dan beradab tidak ramai,” jawab beliau.

Ini kerana menyedari masyarakat yang celik ilmu akan lebih saling hormat-menghormati dan menjaga hubungan vertikal mahupun horizontal. Dengan suluhan ilmu yang dipancarkan melalui rancangan-rancangan diagendakan, TV AlHijrah melalui slogan Satukan Ummah Dengan Ilmu pada tahun 2022 mendidik masyarakat untuk mengambil sikap bijaksana dalam setiap langkah kehidupan.

Meneruskan slogan ini ke tahun 2013, TV AlHijrah menggandakan usaha menyuntik ilmu duniawi dan ukhrawi ini dengan mengambil kira keperluan bergerak seiring dengan perkembangan dunia teknologi terkini. Usaha ini bertepatan dengan perkembangan semasa dunia di mana letusan Revolusi Industri Keempat (IR4.0) tidak lagi dapat dipandang sebagai ancaman, sebaliknya perlu dihadapi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

TV AlHijrah sebagai pendakwah sentiasa meningkatkan potensi diri dalam memanfaatkan kecerdasan buatan untuk lebih inovatif dan kreatif dalam berkarya, sentiasa kaya ilmu, jujur dan berdisiplin serta amanah dan cekap.

Pertumbuhan masyarakat berperadaban yang bijak memanfaatkan teknologi tanpa menggadaikan agama adalah tonggak utama dalam beradaptasi dunia masa kini. Kebijaksanaan ini memerlukan ilmu agar tidak keliru dalam membezakan antara gula dan garam yang hampir serupa pada zahirnya. Untuk itu, ilmu dapat memandu mereka memilih apa yang perlu untuk diri dan agamanya.

Sekaligus menyokong aspirasi kerajaan dalam membentuk Malaysia Madani, slogan yang menjadi kompas ini mampu mengekalkan hayat TV AlHijrah untuk terus relevan dalam perjuangan dakwahnya melorong ummah ke suatu jalan hidup berteraskan agama walau di mana mereka berada.

Tontonan melalui dwi platform iaitu televisyen dan aplikasi peranti pintar AlHijrah Plus sebagai gedung ilmu yang akan terus dipertingkatkan diyakini mampu memacu kepesatan ilmu bermanfaat yang dapat membangunkan negara dan kesatuan ummah.

Menerima lebih 20 anugerah di peringkat kebangsaan dan lima anugerah peringkat antarabangsa atas kerja-kerja memandaikan ummah dan memberi pencerahan kepada masyarakat menjadi dorongan untuk Stesen ini terus istiqamah melestarikan Sunnah Rasulullah SAW menyampaikan dakwah.

Siri anugerah yang diraih sepanjang kembara dakwah yang mengiktiraf TV AlHijrah sebagai media berkonsepkan patuh syariah yang mencapai reputasi dan berprestij antarabangsa, juga dinobatkan sebagai stesen yang sentiasa memartabatkan isu ummah seluruh dunia ini menjadi cetusan semangat untuk terus melajukan langkah menjadi sumber ilmu yang menyumbang ke arah negara bertamadun.

Sambutan Ulangtahun ke-13 TV AlHijrah ini bukan sekadar sambutan memperingati tarikh penubuhan, lebih dari itu adalah suatu detik yang akan menjadi saksi kepada kerja-kerja yang diamanahkan oleh Allah kepada hamba-Nya. Ia menuntut hati yang ikhlas untuk membina tamadun.

Berada dalam perjalanan ini bukanlah suatu kesempatan mahupun batu loncatan untuk seseorang menagih penghormatan sebagai wira yang diraikan, tetapi peluang dan ruang untuk mentarbiah diri dan menyeru ummah menuju sedekat mungkin kepada Tuhan, titik akhir semua perjalanan insan.

Gambar: Penolong Penerbit Cinta Ilmu sedang memberi penerangan kepada tetamu rancangan itu di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah sebelum sesi rakaman bermula.

(216)

13 tahun perjalanan hijrah, TV AlHijrah jadi sumber ketenteraman masyarakat

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>