‘Abang Kira Laju’ congak harga makanan jadi tarikan pelanggan

(VIDEO) SOSOK berkopiah merun ini akan dipanggil pelanggan setiap kali mahu diminta kira harga makanan. Walaupun pekerja lain pun ada, ‘Abang Kira Laju’ ini tetap jadi pilihan kerana pelanggan teruja menyaksikan cara pengiraannya.

Sepantas kilat dia datang meluru dengan sebatang pen dan sehelai kertas, bertanyakan senarai makanan yang telah dinikmati; mencatat dan menyatakan harga setiap hidangan di atas kertas. Tidak jelas butir hitungannya, sekelip mata jumlah bayaran siap dikira.

Dalam video yang dirakam Ahad lalu oleh pelanggan Amir Farid Ahmad Zainuddin, senarai lapan menu dikira hanya dalam masa empat saat sahaja.  

Kelebihan mencongak harga makanan dengan kadar sangat pantas ini salah satu tarikan di kedai makan di Gong Badak, Kuala Terengganu ini, di samping kepelbagaian makanan pagi yang disediakan.

‘Abang Kira Laju’ congak harga lapan jenis makanan pelanggan hanya dalam masa empat saat, membuatkan pelanggan teruja ke kedai makan terbabit.

Pelbagai juadah negeri Terengganu siap berbungkus kecil memudahkan pelanggan menikmati beberapa jenis makanan dengan harga yang berpatutan. Justeru itulah kepantasan mengira diperlukan untuk mencongak hampir berbelas menu di setiap meja.

Kelebihan mencongak sebegini sudah jarang dilihat di mana-mana kedai kini khususnya milik bangsa Melayu kerana kebanyakan mereka memilih kalkulator untuk mengira harga makanan.

Usaha ‘Abang Kira Laju’ ini mengingatkan kepada kita kecerdasan manusia itu tidak terbandingkan dengan teknologi apabila manusia itu sedar kualiti diri sendiri.

Beliau memilih mengasah minda daripada ‘meminta tolong’ daripada kalkulator atau telefon bimbit sebagaimana pilihan sebahagian besar masyarakat kini.  

Kredit video: Amir Farid Channel

‘Abang Kira Laju’ congak harga makanan jadi tarikan pelanggan

| Gaya Hidup, Semasa |