Agama bukan bahan kempen, fokus kebajikan dan isu rakyat

MENGGUNAKAN isu agama dalam kempen pilihan raya di negara ini bukanlah suatu perkara yang baharu. Boleh dikatakan hampir setiap kali menjelang pilihan raya, kalangan pemimpin politik sentiasa diingatkan supaya tidak mempergunakan isu agama bagi meraih perhatian dan sokongan.

Namun begitu ia masih berterusan berlaku. Hampir setiap kali pilihan raya jugalah isu agama digunakan sebagai salah satu bahan kempen, sekaligus meningkatkan bahang panas ke tahap yang dibimbangi boleh mencetus perkara yang tidak diingini.

Proses demokrasi dalam setiap pilihan raya mesti dimurnikan tujuannya daripada perkara-perkara sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan dan perselisihan faham dalam kalangan rakyat yang akhirnya akan merugikan agama dan negara.

Salah satu daripada iltizam yang boleh dilakukan adalah mengelak daripada mengangkat isu agama dalam hangatnya proses demokrasi yang sedang berlaku. Sebaliknya isu yang sedemikian boleh dibahaskan dalam forum atau di pentas yang lain pada waktu yang lain pula.

Sebaiknya pelbagai pihak tidak mengira mana-mana parti memberi ruang pada gerak kerja kempen menjelang pilihan raya untuk memfokuskan kerangka tindakan yang dijanjikan kepada rakyat bagi memastikan semua janji itu ditepati.

Lagipun tujuan kempen pilihan raya itu sendiri adalah untuk memberi ruang kepada pemimpin politik menerangkan kerangka tindakan dan pelan yang akan dilakukan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.

Hal ini kerana rakyat memerlukan pemimpin yang mempunyai pelan tindakan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka, bukan sekadar retorik bermusim yang dilupakan apabila bertukar anginnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dengan tegas melarang pemimpin-pemimpin politik menggunakan isu 3R (agama, kaum dan institusi Raja) dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang hangat sekarang ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan ucapan perasmian Karnival Al-Falah Sempena Program Siri Jelajah Transformasi Al-Falah di SMK Kampung Laut, 15 Julai lalu. (Gambar: BERNAMA)

“Kita kena akur dan patuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong agar tidak menyentuh isu sensitif bagi mengelak berlakunya perpecahan dalam masyarakat,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Al Falah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut di Tumpat pertengahan Julai lalu.

PRN di enam negeri akan diadakan pada 12 Ogos ini dan sebaik sahaja penamaan calon, semua parti politik mengerakkan kempen untuk meraih sokongan daripada pengundi di kawasan masing-masing.

Ketegasan oleh Mohd Na’im itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang isu-isu sensitif seperti agama diangkat sebagai bahan kempen dalam PRN.

Pemimpin politik perlu bertindak bijaksana dan bertanggungjawab membendung daripada berlakunya perkara-perkara yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.

Mereka perlu memahami bahawa kempen pilihan raya perlu dilakukan dengan adil, telus, dan bertanggungjawab.  Adil dalam konteks ini adalah tidak dengan sengaja mengalihkan tumpuan rakyat pada perkara yang boleh mencetuskan kontroversi daripada menpengaruhi pendapat awam.

Isu agama boleh mengalihkan tumpuan rakyat daripada meneliti pandangan, gagasan, dasar dan program yang ditawarkan oleh pemimpin dan parti politik sekiranya berjaya dalam pilihan raya. Kempen juga adalah kaedah untuk menggalakkan penglibatan serta penyertaan rakyat dalam proses mendiri dan meluruskan demokrasi.

Akan tetapi kempen yang bertujuan murni itu boleh menjadi pencetus ketegangan sekiranya tidak dilakukan dengan cara yang beretika dan bermoral. Agama adalah sesuatu yang sangat peribadi dan suci tidak sepatutnya digunakan sebagai alat meraih sokongan dalam politik.

Maka larangan menggunakan isu agama perlu dipatuhi supaya pilihan raya menjadi satu medan terbaik dalam kalangan rakyat memilih pemimpin yang diyakini berbudi pekerti dan berwibawa dalam melaksanakan tugas. 

Banyak isu-isu pembangunan prasarana dan sosial yang boleh dijadikan janji pilihan raya kepada rakyat. Hal itu kerana prasarana dan kualiti sosial terdapat banyak kelompangan yang menuntut keprihatinan daripada pemimpin politik. Inilah waktunya untuk mencari sosok yang diyakini dan boleh berkerja untuk rakyat.

Menyalahgunakan kuasa agama untuk mempengaruhi pengundi adalah suatu yang tidak adil dan menjejaskan kesucian agama apabila dicampuradukkan dengan hal-hal bersifat politik dan perebutan kuasa.

Akhirnya bukan sahaja negara yang rugi kerana masyarakat telah dipesongkan ilmunya hanya kerana kepentingan politik, lebih daripada itu agama juga akan tercalar maruahnya kerana sifat pentingkan diri segelintir pihak yang bersikap manipulatif hanya untuk mengejar habuan duniawi.

Gambar hiasan: Kempen juga adalah kaedah untuk menggalakkan penglibatan serta penyertaan rakyat dalam proses mendiri dan meluruskan demokrasi. (Gambar: Dewan Masyarakat)

(113)

Agama bukan bahan kempen, fokus kebajikan dan isu rakyat

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>