Aksi remaja Cina cetus pelbagai perasaan netizen

SEKEPING gambar mampu mencetus seribu perasaan; terharu, sayu, pilu, gembira, syukur dan cinta. Ia dinikmati oleh mereka yang kaya jiwa dan berperibadi mulia.

Gambar seorang remaja Cina menuntun seorang lelaki tua yang agak uzur ke sebuah masjid menjadi bualan netizen. Pelbagai perasaan dinyatakan dalam bentuk komen di laman Facebook Rakan Muslimah Al-Falah II bertarikh 13 Oktober 2017.

Walaupun telah hampir tiga tahun gambar ini dipaparkan, kebaikan tidak perlu masa untuk diuar-uarkan. Kemuliaan hati remaja ini melangkau batas perbezaan agama dan bangsa, kerana nilai murni itu sememangnya bersifat sejagat.

Jelas kelihatan apa yang dilakukan remaja itu berkait rapat dengan sejumlah rasa yang diluahkan melalui tindakan. Rasa hormat kepada orang yang lebih tua, sikap ingin membantu yang uzur dan keinginan berbakti kepada sesama manusia mendorong remaja ini bertindak sedemikian. Semua itu mampu dilakukan hanya oleh mereka yang mempunyai rasa cinta yang tinggi. Cinta kepada kebaikan.

Sifat murni remaja itu juga tambah terserlah apabila menggunakan tapak tangannya untuk menutup kepala lelaki tua itu daripada tersiram hujan, aksi yang mampu membuatkan sesiapa sahaja yang melihat gambar ini rasa sangat tersentuh.

Kerana bantuannya, lelaki tua itu mampu beribadah di Masjid Al Falah USJ 9, Subang Jaya, sebagaimana yang dinyatakan dalam laman sosial tersebut.

Sifat murni remaja itu juga tambah terserlah apabila menggunakan tapak tangannya untuk menutup kepala lelaki tua itu daripada tersiram hujan, aksi yang mampu membuatkan sesiapa sahaja yang melihat gambar ini rasa sangat tersentuh.

Kebaikan ada di mana-mana, ia bukan milik mutlak satu agama, bangsa mahupun negara. Kebaikan yang merakyat mampu menjelmakan sebuah negara yang aman damai dan harmoni, seumpama susunan bata yang sangat teguh.

Keterangan gambar:
Seorang remaja Cina sedang menuntun seorang lelaki tua untuk masuk ke kawasan masjid bagi menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Falah USJ9.

Aksi remaja Cina cetus pelbagai perasaan netizen

| Semasa |