Ambil alih tugas ibu bapa lanjut usia, remaja urus abang OKU terlantar sambil ikuti kuliah dalam talian dapat anugerah dekan setiap semester

MUHAMMAD Hakimi Abdullah, 19, sanggup berkorban menggalas tanggungjawab menguruskan abangnya yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak lahir memandangkan ibu bapa sudah lanjut usia dan tiada kudrat untuk melakukan tugas berat itu.

Atas dasar kasih sayang dan menghargai pengorbanan orang tua, pelajar Semester Tiga Diploma Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Bharu ini bijak membahagikan masa antara tanggungjawab menjaga abangnya Muhammad Khairul Anuar, 21, sambil mengikuti kuliah secara dalam talian.

Namun, remaja ini tidak pernah menganggap amanah yang terpikul dibahunya itu sebagai beban. Lebih membanggakan, Muhammad Hakimi berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam pelajaran dengan memperoleh anugerah dekan pada setiap semester biarpun perlu mendukung Muhammad Khairul Anuar ke bilik air untuk memandikannya sebanyak dua kali sehari. 

Keadaan badan abangnya yang mengherot selain hampir semua tulang badannya mengeras menyukarkan remaja ini mengangkat serta mendukungnya memandangkan bilik air agak jauh dari rumah. Muhammad Hakimi turut mengalami sakit belakang dan lenguh badan kerana terpaksa mendukung abangnya yang mempunyai berat hampir 40 kilogram ke bilik air setiap hari.

Abdullah turut membantu Muhammad Hakimi memandikan Muhammad Khairul Anuar.

Memandangkan masih belajar, tanggungjawab menguruskan Muhammad Khairul Anuar akan diambil alih ibu bapanya sekiranya Muhammad Hakimi perlu menghadiri kelas atau menduduki ujian penting.

Pelajar ini menghargai pengorbanan ibu bapa yang sentiasa menyokongnya mengejar cita-cita biarpun terpaksa cuti menoreh di kebun. Jika tidak menoreh, bermakna mereka tiada pendapatan memandangkan menerima upah harian. Namun mereka tiada pilihan memandangkan Muhammad Khairul Anuar perlu sentiasa diawasi setiap masa.

Muhammad Hakimi yang bercita-cita menjadi jurutera sebaik tamat pengajian, mengakui kehidupan mereka sekeluarga sukar dan sering berdepan masalah kewangan memandangkan ibu dan bapanya hanya menoreh getah sepenuh masa dengan pendapatan sekitar RM500 sebulan.

Remaja ini bertekad untuk berjaya dalam pelajaran supaya mendapat pekerjaan yang baik untuk mengubah nasib keluarga.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 70 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Muhammad Hakimi mengelap badan Muhammad Khairul Anuar sebelum memakaikan baju untuk abangnya.

(18)

Ambil alih tugas ibu bapa lanjut usia, remaja urus abang OKU terlantar sambil ikuti kuliah dalam talian dapat anugerah dekan setiap semester

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>