Ambil manfaat dari setiap bencana, panik tidak akan menambah baik suasana

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

SEJAK kes pertama Covid-19 disahkan di Malaysia pada 25 Januari lepas, warga Malaysia terus berdepan ancaman yang semakin menakutkan hari demi hari. Jumlah kes semakin meningkat, begitu juga angka kematian.

Apabila langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula diarahkan, masyarakat semakin panik. Pelbagai reaksi diluahkan oleh warga net melalui laman sosial, positif dan juga negatif terhadap tindakan kerajaan itu.

Kepanikan itu sesetengahnya diterjemahkan dalam bentuk kedegilan mematuhi perintah pihak berkuasa, malah terdapat juga yang hilang nilai kemanusiaan sehingga sanggup menyumpah seranah pihak berkuasa yang sedang bertugas.

Sebagai manusia beragama, semua bencana dan ujian yang menimpa seharusnya menjadikan sesuatu bangsa lebih celik agama dan bijaksana, iaitu kembali kepada sistem dan cara hidup yang dituntut. Suasana dihadapi dengan setenang yang mungkin.

Bagi mereka yang sedang dikuarantin, pada masa inilah mereka boleh menggunakan waktu sebaik-baiknya untuk menumpukan lebih masa kepada diri sendiri dan Pencipta.

Dalam sekeping gambar yang dimuatkan dalam laman Facebook Lembaga Zakat Selangor menunjukkan di sebuah hospital, mereka yang sedang menjalani kuarantin sedang solat berjemaah. Pada masa sama mereka masih menjaga arahan seperti merenggangkan jarak antara para jemaah. Islam itu mudah dan tidaklah rigid.

Sebagai manusia beragama, semua bencana dan ujian yang menimpa seharusnya menjadikan sesuatu bangsa lebih celik agama dan bijaksana, iaitu kembali kepada sistem dan cara hidup yang dituntut. Suasana dihadapi dengan setenang yang mungkin.

Ternyata wabak ini tidak menghalang mereka untuk terus beribadat, malah mungkin inilah kali pertama peluang pada sesetengah orang itu untuk solat berjemaah sepanjang hidupnya. Orang yang hebat itu dapat menukarkan sesuatu kesusahan itu kepada manfaat untuk diri dan orang di sekelilingnya.

Menyorot sejarah manusia hebat dalam menghadapi ujian, kita boleh mengambil panduan daripada tindakan dan sikap Khalifah Umar Abdul Aziz dalam kejadian gempa bumi yang sangat kuat mengegarkan bandar Damsyik dan dataran Syam pada zaman pemerintahan baginda.

Baginda terus mengutus surat kepada gabenor seluruh jajahannya dan berpesan, “Sesungguhnya gempa bumi ini adalah suatu amaran Allah SWT kepada sekelian hamba-Nya”.

Khalifah Umar memerintahkan supaya rakyat jelatanya keluar beramai-ramai ke tempat lapang untuk solat pada suatu hari yang ditetapkan. Sebelum itu baginda menyarankan kepada mereka yang berharta supaya mengeluarkan sedekah dan menyebut nama Allah SWT lalu mengerjakan solat.

Baginda juga memerintahkan supaya mereka menyebut doa istighfar tiga orang nabi terdahulu iaitu Adam, Nuh dan Yunus a.s, di mana nabi Adam a.s berdoa seperti mana dalam surah al-A’raf: 23 yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri dan kalau Engkau tidak mengampun kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami daripada orang-orang yang rugi.

Justeru, manusia diperintahkan agar sentiasa bermuhasabah dan kembali kepada perintah agama dalam mengenalpasti punca bencana dan untuk menguatkan mental setiap kali mendepani bencana. Selain sedar dan memperbetulkan diri, kita disarankan agar bersabar dan berdoa setiap kali diuji. Bersabar tanpa disusuli usaha dan doa juga tiada guna kerana umat Islam perlulah dinamik dalam hidupnya.

Ambil manfaat dari setiap bencana, panik tidak akan menambah baik suasana

| Semasa |