Anak berpeluh-peluh dalam terik matahari, gambar ‘rider’ Food Panda kendong anak sewaktu bekerja undang simpati warga net

GAMBAR yang mengundang sebak dan pelbagai perasaan ini adalah bukti dalam keriuhan berita dan paparan segelintir ibu bapa yang mengabaikan anak atau kes penderaan kanak-kanak, masih banyak ibu bapa yang menjulang nilai kasih sayang berserta tanggungjawab yang tinggi terhadap zuriat mereka.

Seorang bapa menggendong anak yang kelihatan berpeluh-peluh dalam terik panahan matahari menangkap penglihatan seorang wanita, yang memuat naik kisah pertemuan beliau dengan lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan Food Panda itu.

Lelaki dalam gambar yang dipaparkan dalam laman Facebook Rohayu Mohd Rodzi ini terpaksa membawa anaknya bersama sewaktu bertugas menghantar pesanan pelanggan kerana tiada penjaga di rumah, manakala untuk menghantar pengasuh pula memerlukan belanja tambahan.

Wajah sayu dan kepenatan anak ini mampu mengundang sebak sesiapa sahaja yang melihatnya.

Menurut Rohayu, sewaktu mendekati lelaki bersama anaknya itu, anak tersebut kelihatan seakan-akan memahami tugas bapanya yang sedang mencari rezeki.

“Anak diam saja, dia dah faham bapa dia tengah kerja cari duit… dalam raga ada botol susu kosong. Warga Penang kalau nampak bapa dan anak ini bantulah apa yang patut, kalau tak mampu bagi bantuan cukuplah sekadar doa kalian untuk mereka selamat ketika menunggang motor menghantar pesanan pelanggan’, catat Rohayu.

Hantaran tersebut mendapat perhatian warga net dan mengikut makluman dari laman tersebut juga, ramai ahli masyarakat mula menyumbang kepada bapa tersebut.

Semoga bapa tersebut terus dimurahkan rezeki, dan semoga lebih ramai masyarakat cakna seumpama Rohayu ‘memperjuangkan’ nasib insan seperti bapa ini yang berjuang untuk terus hidup.

Anak berpeluh-peluh dalam terik matahari, gambar ‘rider’ Food Panda kendong anak sewaktu bekerja undang simpati warga net

| Semasa |