‘Anak emak’ panjat saluran paip, duduk di tingkap berjam-jam setiap hari pantau ibu dijangkiti Covid-19 sehinggalah ibu meninggal

ANAK bongsu yang sangat risau tentang kesihatan ibunya ini sanggup memanjat saluran paip dan menenggek di tepi tingkap sebuah hospital di Hebron setiap hari demi menjenguk ibunya yang ditempatkan di situ.

Pemuda berusia 30 tahun itu, Jihad Al-Suwaiti mahu memastikan ibunya yang dijangkiti Covid-19, mendapat penjagaan dan perhatian sebaik mungkin kerana umum mengetahui tiada sesiapa dibenarkan melawat atau menjaga pesakit Covid-19.

Jihad sebagaimana laporan Astro Awani yang memetik portal Al Araby dikatakan ‘menemani’ selama berjam-jam setiap hari sehinggalah ibunya, Rasma Salama menghembuskan nafas terakhir, Khamis lalu.

“Dia menghabiskan hampir keseluruhan harinya di situ, memerhatikan keadaan ibunya dari luar tingkap, sebelum turun apabila yakin ibunya sudah tidur lena,” kata seorang pegawai hospital di situ.

“Dia menghabiskan hampir keseluruhan harinya di situ, memerhatikan keadaan ibunya dari luar tingkap, sebelum turun apabila yakin ibunya sudah tidur lena,” kata seorang pegawai hospital di situ.

Abang Jihad, Rasmi pula berkata biarpun dilarang berbuat demikian oleh pihak hospital atas faktor keselamatan, adiknya itu tetap berdegil.

Menurut Rasmi lagi, Jihad memang rapat dengan ibunya lebih-lebih lagi selepas kematian bapa mereka 15 tahun lalu.

“Ibu menghidap leukimia dan disahkan dijangkiti Covid-19 beberapa minggu lalu. Ketika dimaklumkan tentang kematian ibu, Jihad marah dan tidak percaya.

“Tetapi kini dia nampaknya sudah boleh terima kenyataan,” ujar Rasmi.

Jihad mungkin berasa itulah khidmat terakhir dari seorang anak kepada ibunya, walaupun tidak dapat disentuh tangan, sekurang-kurangnya beliau dapat menyentuh ibunya dengan matanya saban hari.

Gambar: (Kiri) Jihad memanjat melalui saluran paip untuk ke tingkap. (Kanan) Jihad menunggu di tepi tingkap saban hari untuk memantau ibunya. (Gambar kecil) Rasma Salama, ibu Jihad. (Worldofbuzz.com)

‘Anak emak’ panjat saluran paip, duduk di tingkap berjam-jam setiap hari pantau ibu dijangkiti Covid-19 sehinggalah ibu meninggal

| Semasa |