Anak muda yang bagaimana negara mahukan – TV AlHijrah siar rancangan ukur kehebatan anak muda sebagai bakal peneraju negara

 “JIKA kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.” Kata-kata berbentuk pesanan daripada Saidina Ali R.A seharusnya menjadi pedoman penting bagi sesebuah negara dalam merangka hala tuju dan gaya hidup anak muda.

Pemikiran, agama, bahasa, cara dan budaya hidup mereka merangkumi pakaian, pergaulan serta bual bicara mereka adalah tanda aras masa hadapan sesebuah negara. Jika beberapa tahun kebelakangan ini mereka adalah pentaksub hiburan, pencandu gaya hidup songsang atau leka dengan sihir media sosial; pasti dua dekad lagi negara tersebut akan menjadi sebuah negara bermasalah dari pelbagai aspek kehidupan.

Sebaliknya apabila anak muda menjadikan agama sebagai suluh pandu hidupnya, mencintai gaya hidup beragama, giat mencari ilmu dan mempunyai jati diri yang tinggi; pasti masa depan negara itu aman sejahtera.

Menyedari betapa pentingnya anak muda sebagai aset agama dan negara inilah TV AlHijrah menyiarkan rancangan khusus untuk anak muda sebagai perangsang kepada mereka; bentuk anak muda yang bagaimana diperlukan oleh negara sebenarnya.

Tazkirah Anak Muda (TAM), rancangan hasil kerjasama TV AlHijrah dan Co Gear Production ini disiarkan secara langsung di laman Facebook TV AlHijrah, meraikan medium utama sasaran para pemuda abad ini.

Program untuk mencungkil bakat pengucapan awam (public speaking) dalam kalangan anak muda masa kini menuntut penglibatan anak muda yang berani, berkeyakinan tinggi, bersifat da’i, minat berdakwah serta pandai berhujah – suatu persediaan kepada generasi hebat yang bakal memimpin masyarakat.

Ini kerana sejarah pernah membuktikan anak muda yang hebat mampu menggegar dunia dan barisan pemuda terpilih merupakan penjulang panji-panji Islam suatu ketika dahulu.

Sultan Muhammad Al-Fateh menakluk Kota Konstantinopel (Istanbul) ketika remaja, seawal umur 21 tahun. Tentera Sultan Muhammad Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat wajib sejak baligh dan separuh daripada mereka tidak pernah meninggalkan solat tahajud sejak baligh.

Kejayaan penaklukan itu tidak berjaya diraih sekiranya anak muda pada zaman itu hanyut oleh hedonisme dan tiada matlamat hidup yang jelas.

Menyedari kepentingan membentuk barisan anak muda yang unggul inilah TV AlHijrah menyediakan rancangan TAM sebagai pencetus minta anak muda mencabar diri menyahut panggilan pertiwi.

Peserta diminta menghantar video tazkirah berdurasi tiga minit mengikut gaya dan kreativiti masing-masing, dengan memilih satu daripada tiga tajuk yang disediakan untuk diperkatakan.  Video terbaik akan dipilih oleh moderator rancangan, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre.

Video terpilih ini disiarkan di laman Facebook TV AlHijrah pada 13, 16, 19 dan 21 Mei, pukul 5.30 petang. Justeru itu, jangan lupa tonton dan nilai sendiri bagaimana pemikiran dan bentuk anak muda yang bakal memimpin dunia suatu hari nanti!

Gambar hiasan: kereta.info

Anak muda yang bagaimana negara mahukan – TV AlHijrah siar rancangan ukur kehebatan anak muda sebagai bakal peneraju negara

| Semasa |