July 27, 2024 2:58 PM
LOGO-HBIT

Anak sulung meninggal jatuh bangunan, dua beradik terpaksa tinggal ibu bapa uzur dan buta sendirian ketika keluar cari rezeki

ABU SEMAN Md Rejab atau lebih mesra disapa Pak Abu, 69, dan isterinya, Asiah Yeob Kamaruddin, 72, yang cacat penglihatan berdepan masalah kewangan berikutan anak kembarnya, Rozimah dan Rozita, 39, hilang punca pendapatan apabila pusat karaoke tempat mereka mencari rezeki ditutup akibat pelaksanaan PKP.

Tambah memilukan, pasangan OKU ini turut diuji apabila anak sulung mereka, Asri yang menghidap masalah mental ditemui meninggal dunia pada 28 Jun akibat terjatuh dari rumah pangsa yang didiami mereka sekeluarga di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur. 

Rozimah dan Rozita kini melakukan kerja sambilan di sebuah pasar raya dengan pendapatan sekitar RM500 hingga RM800 sebulan bergantung bilangan hari dipanggil bekerja dengan bayaran gaji mengikut jam, untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga memandangkan Pak Abu dan isterinya sudah tiada kudrat untuk keluar mencari rezeki.

Asiah perlu sentiasa diurut tangannya kerana masalah sendi dan urat manakala Pak Abu perlu dipimpin anak untuk ke mana-mana.

Selain masalah penglihatan yang dialami sejak kecil, Pak Abu juga menderita penyakit jantung, darah tinggi dan diabetes, manaka isterinya pula menghidap penyakit sendi dan urat. Disebabkan keadaannya itu, pasangan ini memang tidak mampu bekerja dan terpaksa mengharapkan anak-anak untuk meneruskan kehidupan mereka memandangkan wang persaraan sudah habis dibelanjakan.

Namun, pasangan kembar ini berdepan masalah kerana terpaksa meninggalkan kedua-dua ibu bapa mereka yang cacat penglihatan sendirian setiap kali keluar bekerja. Mereka bimbang memikirkan keselamatan Pak Abu dan Makcik Asiah, namun tiada pilihan lain.

Sebelum ini, mereka tidak begitu bimbang kerana ada arwah abang yang boleh diharapkan untuk membantu kedua-dua ibu bapa mereka walaupun mempunyai masalah mental. Kini Rozimah dan Rozita berharap pusat karaoke akan dibuka semula secepat mungkin agar beban kewangan yang menghimpit mereka sekeluarga akan berakhir.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 51 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Pak Abu dan isteri, Asiah hanya tinggal berdua di rumah setiap kali anak kembarnya keluar bekerja.