“Andai Ini Ramadan Terakhir”, sediakah anda menginap di ruang ini?

DARI ruang seluas enam kaki dalam dan empat kaki lebar, jasad berbungkus kain putih diturunkan secara perlahan oleh beberapa orang pengendali.  Apabila terjejak sahaja ke dasar ruang, tanah mula ditimbus sedikit demi sedikit.

Tiada lagi langit biru dan udara yangdisedut secara percuma selama hidup. Tiada lagi wajah kesayangan yang dapat ditatap setiap kali bangun tidur. Ruang gelap dan sempit ini menjadi kediaman baharu sehingga satu tempoh yang ditentukan Ilahi.

Anak-anak, ibu ayah, suami isteri dan sahabat handai serta seluruh mereka yang dikenali memberi salam terakhir sebaik sahaja mereka berkalih meninggalkan kawasan yang bukan selalu dikunjungi orang. Tinggallah anda sendirian, bahagia derita bergantung kepada bekalan yang dibawa untuk sebuah perjalanan panjang.

Cukupkah solat wajib lima waktu yang dikerjakan, puasa yang pernah ditinggalkan sempatkah diganti atau dibayar fidyah, haji sudah dikerjakan atau belum, zakat dari harta bertimbun itu diagihkan atau tidak kepada yang berhak? Itu hanya ibadah wajib sebagai muslim. Bagaimana pula dengan ibadat sunat yang lain?

Bagaimana pula dengan hubungan horizontal sesama manusia? Berapa ramai yang terguris hati dengan sifat mazmumah yang anda tidak peduli pun untuk mengubahnya? Hubungan dengan jiran dan sanak-saudara pula adakah utuh silaturrahimnya?

Sekiranya anda suami, bagaimana anda mendidik isteri dan anak-anak untuk masuk syurga sekeluarga, isteri anda tutup aurat dan ikut ajaran agama atau tidak? Begitu juga sebagai isteri, pernahkan anda buat suami rasa berkecil hati dengan sikap anda yang selalu mahu menang?

Kempen “Andai Ini Ramadan Terakhir” TV AlHijrah yang bermula pada 5 April hingga 12 Mei 2021 bertujuan mengingatkan penonton tentang persediaan diri sekiranya Ramadan ini peluang terakhir seorang hamba hidup di dunia.

Sebagai ibu bapa, berapa kali dalam hidup anda mengajar anak-anak mengenal Tuhannya, pernahkan sebagai ayah anda jadi imam kepada mereka?

Kini, semua pertanyaan itu akan jadi beban penyesalan sekiranya apa yang wajib dan wajar anda lakukan itu; tidak anda lakukan selama anda masih bernafas. Dalam ruang sempit ini anda tidak lagi dapat mengulang waktu untuk memperbaiki jawabannya.

“Andai ini Ramadan Terakhir” yang menjadi tema sambutan Ramadan tahun ini di TV AlHijrah mengingatkan anda untuk sentiasa muhasabah diri dan mensyukuri nikmat usia yang masih berbaki. Ruang masa yang diperuntukkan ini seharusnya diisi dengan penuh bekal supaya ruang sempit yang bakal anda diami suatu hari nanti tidak menjadi ruang penyesalan.

Tanyalah diri anda, andai Ramadan tahun ini merupakan Ramadan terakhir untuk anda, adakah anda berpuas hati dengan hidup yang sedang dijalani kini?

Gambar hiasan

“Andai Ini Ramadan Terakhir”, sediakah anda menginap di ruang ini?

| Advertorial, Semasa |