Apa anda akan buat kalau direzekikan jumpa Lailatul Qadr?

HARI ini sudah 20 hari kita berpuasa, dua pertiga bulan Ramadan telah dilalui dengan pelbagai kadar amalan masing-masing. Esok pula kita berdepan dengan sepuluh hari terakhir yang lazimnya menjadi medan ibadat hamba yang sedar akan manfaatnya.

Ramai yang sudah tahu kelebihan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan yang dikatakan berada dalam sepuluh malam terakhir Ramadan ini. Ramai pula yang memburu dan berdoa supaya direzekikan bertemu malam ini.

Seandainyalah anda bertemu dan tahu ketibaan malam tersebut, apa amalan pertama yang anda akan lakukan? Mungkin kerana sangat teruja menunggunya, anda panik mahu melakukan ibadah yang mana dahulu.

Pertanyaan ini pernah timbul dalam fikiran Saidatina Aisyah r.a. sehingga beliau bertanya Rasulullah s.a.w. Ini kerana sudah tentu kita akan mempersiapkan sesuatu yang paling baik untuk dipersembahkan pada peluang waktu yang sangat istimewa itu.

Apabila seorang hamba merendah diri dan memohon ampun, bermakna dia telah meruntuhkan segala ego yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Dalam hadith riwayat al-Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah itu, Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah s.a.w. “Wahai Rasulullah! Sekiranya aku berada pada Lailatul Qadr, apa yang aku perlu buat?”

Baginda s.a.w. menjawab, katakanlah, “Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu anni’ (Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, menyukai permintaan ampun maka ampunilah aku).”

Doa ringkas ini amat besar maknanya kerana kunci segala rahmat itu adalah keampunan Allah. Apabila seorang hamba merendah diri dan memohon ampun, bermakna dia telah meruntuhkan segala ego yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Apabila Allah telah kasih kepada hamba, sudah pasti segala kebaikan akan diberikan kepada hamba tersebut. Segala kebaikan itu ada dalam diri kita, dan kerana itulah hamba disarankan berbalik kepada fitrah yang suci untuk mendapat rahmat dari Ilahi.

Di samping itu, oleh kerana pada Lailatul Qadr itu umur, rezeki dan ajal manusia ditentukan; maka sudah pasti doa minta keberkatan usia, kematian dalam keadaan baik dan keberkatan rezeki sepatutnya menjadi keutamaan pada malam itu.

Gambar hiasan: adiharriman.com

Apa anda akan buat kalau direzekikan jumpa Lailatul Qadr?

| Agama |