Apa jawapan UAI apabila Datuk Dr. Zulkifli tanya “Apa ustaz akan buat kalau jadi Menteri Agama?”

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

TERKENAL dengan sifat merendah diri dalam menambah ilmu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta pandangan pendakwah tersohor Ustaz Azhar Idrus (UAI) tentang usaha yang perlu ditambah baik dalam mengendali kementeriannya.

Perbincangan santai yang dilakukan melalui laman Facebook, Instagram dan Youtube bertajuk ‘Deme wak mende PKP ning?’ yang boleh ditonton di pautan https://youtu.be/FCWY6YOIosc ini mendapat sambutan hangat penonton dan tular di media sosial hari ini.

Soalan yang diibaratkan Dr. Zulkifli sebagai “cepu emas” yang berbunyi “Apa ustaz akan buat kalau jadi Menteri Agama?” mendapat jawapan yang sangat bernas daripada UAI.

Sewaktu program ini berlangsung malam tadi, Datuk Dr. Zulkifli bertanya kepada Ustaz Azhar Idrus apakah yang akan beliau buat sekiranya menjadi Menteri Agama. FOTO FB: DATUK DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

UAI menegaskan sebagai orang Islam, seseorang itu perlulah mengambil peluang dan ruang yang ada untuk meninggikan kedudukan agamanya. Justeru apabila diberi kuasa, rebutlah peluang yang ada tanpa mengira tempoh waktu untuk berbakti kepada agama.

Menurut beliau lagi, kuasa sangat penting untuk menjamin agama tidak diperkotak-katikkan dan berada pada tempat selayaknya, dan itulah tugas menteri agama.

Jelas beliau lagi, apabila agama Islam yang sangat mementingkan keadilan berada di atas, seluruh masyarakat tidak mengira agama dan kaum akan hidup selamat dan terjamin kerana keindahan yang dibawa Islam itu sendiri.

Jelas beliau lagi, apabila agama Islam yang sangat mementingkan keadilan berada di atas, seluruh masyarakat tidak mengira agama dan kaum akan hidup selamat dan terjamin kerana keindahan yang dibawa Islam itu sendiri.

Ini kerana konsep agama Islam itu sendiri membawa rahmat kepada seluruh kehidupan pelbagai bangsa dan agama. Semua akan mendapat rahmat yang dibawa oleh ajaran Islam dan akan hidup dalam harmoni.

Seseorang menteri juga perlu menggunakan kuasanya ke jalan yang benar dan untuk kemaslahatan ummah, bukan menyalah gunakan kuasa demi kepentingan diri sendiri.

Beliau juga berdoa supaya Dr. Zulkifli berjaya memikul amanahnya dengan sebaik mungkin supaya Islam akan terus tegak dan membawa rahmat kepada semua, kerana Islam itu tinggi dan tiada yang tinggi selainnya.

Apa jawapan UAI apabila Datuk Dr. Zulkifli tanya “Apa ustaz akan buat kalau jadi Menteri Agama?”

| Semasa |