Artis ambil upah ajar anak jiran mengaji al-Quran, cuci pakaian demi kelangsungan hidup akibat PKP

HIDUP bekas juara program realiti, Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018, Alina Hassan, 53, yang dulu penuh kemasyhuran dan sentiasa mencuri tumpuan lensa kamera kini berubah 360 darjah.

Beliau yang juga ibu tunggal kepada tiga anak mengisi harinya yang sepi dengan mengajar anak-anak jiran mengaji secara percuma, menyanyi menerusi platform media sosial, Facebook untuk menampung hidup yang serba mencabar di kota raya kerana tiada punca pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada Jun lalu. 

Pada tahun lalu, kisah penyanyi yang popular dengan lagu Dingin dan Gelombang ini pernah tular dan menjadi tumpuan masyarakat apabila dia kehilangan mata pencarian sejak PKP dikuat kuasa. Beliau juga tidak dapat meneruskan kerjanya sebagai tukang cuci, mengambil upah mencuci dan melipat pakaian serta mengasuh yang dilakukan setelah banyak undangan nyanyian yang diterima sebelumnya terpaksa dibatalkan.

Beliau melalukan semua kerja tersebut di sekitar bilik sewanya yang berkeluasan 1.5meter X 2.4 meter di Setapak.  Lebih menyedihkan, Alina yang tidak memiliki kenderaan mengerah keringat untuk menghantar barang yang dipesan dengan berjalan kaki lebih dua kilometer setiap hari.

Alina menyambut mesra kedatangan penulis dan jurugambar ke kediamannya dengan menjamu karipap walaupun sibuk dengan kelas Iqra.

Dengan pendapatan tidak seberapa, upah yang diperoleh itu digunakan untuk membeli nasi bajet berharga RM3 yang mengandungi telur dan sambal bagi mengisi perut. Malah, beliau pernah mengikat perut dan hanya makan sekali sehari sahaja berikutan tiada duit untuk membeli makanan.

Sebaik kisahnya menghuni bilik kecil tular, akhirnya permohonan Alina untuk memiliki rumah yang selesa mendapat perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyewakan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak untuknya.

Masalah kewangan yang dihadapi ringan apabila menerima bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjumlah RM300 sebulan. Bantuan itu digunakan untuk membayar sewa rumah RM124 sebulan dan bil utiliti.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 54 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Alina mengajar anak jiran mengaji Iqra di rumahnya di PPR Desa Rejang, Setapak.

Artis ambil upah ajar anak jiran mengaji al-Quran, cuci pakaian demi kelangsungan hidup akibat PKP

| Advertorial, Semasa |