Bad Indigo reda bergelar OKU, lima jari kaki dipotong akibat diabetes


KETIKA sedang asyik menikmati kebahagiaan berumah tangga selepas bibit cinta antara mereka berputik ketika menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), pasangan selebriti Bad, 46, dan Ashira, 37, diuji apabila anggota kumpulan Indigo yang terkenal menerusi lagu Istimewa itu terpaksa berdepan kecacatan kekal dan bergelar Orang Kurang Upaya (OKU).

Disebabkan gangren, saraf penyanyi ini rosak berikutan tisu kakinya mati akibat bekalan darah dan oksigen terputus. Jari kakinya berubah kehitaman dan mengecut. Bagi mengelak ia terus merebak, pembedahan membuang lima jari kaki itu adalah pilihan terbaik. Ia dilakukan secara berperingkat pada Mac, April dan September tahun lalu. 

Bad atau nama lengkapnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani pembedahan memotong satu jari kaki kirinya dua minggu selepas mendirikan rumah tangga. Beliau kemudian sekali lagi dimasukkan ke hospital sama pada April bagi menjalani pembedahan memotong tiga lagi jari kaki bagi mengelakkan bakteria daripada merebak.

Bagai jatuh ditimpa tangga, semua jari kaki sebelah kiri bapa kepada dua anak itu terpaksa dipotong akibat kencing manis kronik yang dideritainya. Pembedahan itu mengakibatkan hampir separuh daripada kakinya turut dipotong. Menurut Bad, dua pembedahan terdahulu yang menelan belanja hampir RM5,000, memaksa beliau mengeluarkan simpanan yang masih berbaki, namun amat bersyukur apabila pembedahan ketiga tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kerana sudah menerima kad OKU. Ia sedikit sebanyak meringankan beban kos rawatan yang perlu ditanggung. 

Bad Indigo menunjukkan kasut khas yang digunakan memandangkan dia kini sukar berjalan disebabkan kaki membengkok selepas menjalani pembedahan.

Biarpun sukar menyesuaikan diri dengan keadaan fizikalnya kini, namun Bad sentiasa positif menerima ketentuan Ilahi. Selepas pembedahan, kaki Bad menjadi bengkok menyebabkan beliau perlu menggunakan ‘walker’ dan kasut khas untuk membantunya berjalan.

Kehidupan penyanyi ini semakin mencabar apabila sudah dua tahun tidak menerima tawaran nyanyian dan tidak dapat bekerja akibat pandemik Covid-19.  Bad yang mempunyai pengalaman luas sebagai pengurus acara (event management) bertegas mahu berusaha mencari rezeki menanggung keluarganya biarpun wakil Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ada menemuinya untuk memberikan bantuan. 

Beliau sebelum ini meneruskan hidup dan memberi nafkah kepada dua anak yang kini di dalam jagaan bekas isteri dengan menggunakan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui inisiatif i-Citra dan i-Lestari.  Demi kelangsungan hidup, Ashira, atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, turut melakukan kerja sambilan sebagai pelayan dan pencuci pinggan di sebuah restoran milik rakannya di Puchong. Namun, tindakan itu dipersoalkan dan tular di media sosial. 

Menghormati pandangan warga net, Ashira dan Bad mengambil positif semua komen yang diberikan kerana apa yang penting Allah mengetahui niat dan itu antara cara mereka berusaha untuk meneruskan hidup. Malah, Bad sudah seminggu bekerja di bengkel milik rakannya di Ampang. 

Keutamaan Bad ketika ini adalah menjaga  dan memulihkan kaki sepenuhnya sebelum membuat sebarang perancangan masa depan dan kerjaya seni. Bad tekad mahu belajar berjalan semula memandangkan ketika ini sukar bergerak dan terpaksa menggunakan ‘walker’, tongkat dan kasut khas.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 74 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Bad menggunakan ‘walker’ untuk bergerak berikutan kakinya membengkok selepas pembedahan.

(29)

Bad Indigo reda bergelar OKU, lima jari kaki dipotong akibat diabetes

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>