Bahaya nasi panas semula

BENARKAH nasi yang dipanaskan semula boleh menyebabkan keracunan makanan? Ramai yang mempersoalkan hal ini dengan alasan, setakat ini tiada laporan yang membuktikan adanya kematian berikutan makan nasi yang dipanaskan semula.

Ada juga yang berhujah bahawa pada zaman tok nenek dahulu, makan nasi dingin atau yang dipanaskan semula itu fenomena biasa, tetapi tidaklah pula mereka meninggal.

Benar, tiada rekod tertulis sedemikian, sebagaimana tiada rekod menyatakan seseorang itu meninggal dunia kerana merokok. Yang ada hanyalah kematian akibat kanser paru-paru, masalah jantung dan sebagainya, iaitu kesan dari merokok.

Peringatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam ciapan Twitternya semalam bertindak sebagai pencegahan awal, supaya masyarakat sentiasa beringat sebelum kena. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubat?

Nasi yang ditinggalkan dalam suhu bilik lebih empat jam menyebabkan spora yang ada dalam nasi itu aktif semula. Pembiakan bakteria bacilus cereus boleh menghasilkan toksin beracun dan menyebabkan keracunan kepada si pemakan.

Menurut KKM, nasi yang ditinggalkan dalam suhu bilik lebih empat jam menyebabkan spora yang ada dalam nasi itu aktif semula. Pembiakan bakteria bacilus cereus boleh menghasilkan toksin beracun dan menyebabkan keracunan kepada si pemakan.

Justeru itu cara penyimpanan nasi itu sebelum ia dipanaskan semula perlulah betul untuk mengelakkan terjadinya keracunan, bukannya isu pemanasan semula itu.

KKM juga menasihatkan semua makanan yang telah dimasak mesti disimpan dalam bekas tertutup dan disimpan peti sejuk supaya lebih bersih dan selamat.

Berwaspada itu lebih selamat kerana kualiti udara zaman kita ini tidak sama dengan zaman nenek moyang dahulu, apatah lagi dalam cuaca dan keadaan banjir yang melanda ketika ini.

Kredit gambar: KKM

Bahaya nasi panas semula

| Kesihatan |