Bangkai tiga ekor kucing malang mati disumbat ke dalam mesin dobi diambil pihak berkuasa untuk siasatan

GAMBAR bangkai tiga ekor kucing yang dibunuh kejam dengan cara memasukkannya ke dalam mesin basuh dobi di Desa Aman Puri, Kepong, Kuala Lumpur ini membuktikan kepada kita manusia semakin hilang ciri kekhalifahannya, di mana sepatutnya manusia bertanggungjawab memberi keamanan kepada sesama sendiri serta makhluk lain.

Malam tadi, tiga ekor kucing malang ini telah diambil oleh petugas penyiasat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) dan dibawa ke Makmal Forensik DVS di Shah Alam Selangor untuk siasatan.

Menurut laman Facebook Persatuan Haiwan Malaysia, saksi telah membuat laporan Polis di Balai Polis Desa Jaya Kepong pada jam 10.30 pagi hari kejadian dan kelibat kehadiran Anggota Pasukan Penguatkuasaan DVS Negeri Selangor bertindak dilihat ke lokasi selepas 12 jam laporan dibuat.

Persatuan ini juga menasihatkan orang ramai supaya membungkus rapi bangkai haiwan dan menyimpannya ke dalam peti pembeku, atau ke dalam mana-mana kotak gabus atau bekas kedap udara dipenuhi ais bagi kes jenayah terhadap haiwan supaya bangkai bukti tidak rosak sementara menunggu pihak DVS datang membuat siasatan.

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan seorang lelaki memasukkan kucing ke dalam mesin dobi ini tular di media sosial semalam. (Foto FB: Persatuan Haiwan Malaysia)

Semalam heboh di media sosial tindakan kejam yang dipercayai dilakukan seorang lelaki berusia 30-an kira-kira jam 5.30 pagi; dan disedari seorang wanita yang mengunjungi dobi tersebut pada jam 9.00 pagi itu.

Kes ini merupakan kali kedua bagi kes bunuh kucing dengan cara dimasukkan ke dalam mesin dobi.

Sebelumnya, pada 5 Disember tahun lalu seorang pekerja kontrak memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri. Beliau dihukum penjara 34 bulan dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang.

Akta Kebajikan Haiwan 2015 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun dan denda maksimum RM100,000.00 kepada pelaku yang didapati bersalah.

Keterangan gambar: (Kiri) Tiga bangkai kucing yang telah diambil oleh petugas penyiasat dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) dan dibawa ke Makmal Forensik DVS di Shah Alam Selangor untuk siasatan. (Kanan) Bangkai salah seekor kucing yang ditemui mati dalam mesin dobi semalam. (Persatuan Haiwan Malaysia)

Bangkai tiga ekor kucing malang mati disumbat ke dalam mesin dobi diambil pihak berkuasa untuk siasatan

| Semasa |