Bangunan pencakar langit dan banyaknya terowong di Mekah tanda akhir zaman

UMAT Islam sedang menyaksikan tanda Kiamat berlaku satu demi satu di hadapan mata. Dalam sebuah hadis yang menceritakan tentang peristiwa yang bakal berlaku pada akhir zaman, dikatakan pada zaman itu nanti orang-orang miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan tinggi.

Sabda Baginda SAW, “Dan kamu akan melihat pengembala kambing yang tidak beralas kaki, tidak berpakaian lagi miskin berlumba-lumba meninggikan bangunan.” (Hadis Riwayat Muslim Al-Iman, Hadis No. 8).

Rasulullah memaksudkan mereka itu daripada kalangan orang Arab. Mereka yang berada di Jazirah Arab sedang berlumba-lumba membina bangunan tinggi di mana pada circa 1995, Dubai yang hanya mempunyai bangunan tidak lebih dari sebelas tingkat, kini antara yang mempunyai bangunan tertinggi di dunia.

Negara Saudi pula membangunkan Jeddah Tower yang mencecah 200 tingkat dan berketinggian lebih kurang 1 kilometer. Dubai Nakheel Tower juga pernah dirancang pembinaannya, berketinggian 1.4 kilometer. Fakta menunjukkan daripada 88 bangunan yang tertinggi di dunia, 27 daripadanya bangunan dimiliki oleh orang Arab.

Perkara ini membenarkan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dan kita sedang menyaksikan mukjizat Nabi SAW yang menceritakan perkara yang sedang dan akan berlaku pada masa akan datang.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Apabila kalian telah melihat galian-galian besar di Mekah, dan bangunan-bangunannya menjulang tinggi melebihi gunung, maka ketahuilah bahawa Kiamat sedang mendekatimu.” (HR Ibnu Abi Syaibah dan Al-Arqazi)

Rancangan Riwayat Akhir Zaman boleh ditonton melalui aplikasi AlHijrah Plus.

“Antara bangunan yang tertinggi ialah Bangunan Jam di kawasan Mekah. Dahulunya manusia yang pergi ke Mekah berbangga-bangga dengan bangunan Kaabah, tetapi sekarang kita sedang dialih pandangan kepada bangunan jam yang tinggi itu,” ulas Ustaz Jafri Abu Bakar Al Mahmoodi dalam rancangan Riwayat Akhir Zaman Musim 2, Episod 2.

Selain tanda tersebut, Rasulullah juga mengingatkan bahawa tidak akan berlaku Kiamat sehingga bayangan ‘As-Saah’ menutupi Kaabah. ‘As-Saah’ itu mempunyai dua maksud; yang pertama ialah Kiamat dan keduanya bermaksud jam.

Menurut Ustaz Jafri, apabila melihat kepada dunia masa kini; maksud kedua itu lebih tepat menggambarkan maksud hadis Baginda.

Baginda juga pernah mengatakan Kiamat akan terjadi jika gunung-gunung di kota Mekah sudah berlubang. Realitinya, tidak ada negara dalam dunia yang mempunyai terowong di kawasan kota yang banyak melainkan di kawasan Kaabah. Suatu ketika dahulu Mekah mempunyai 55 terowong dan makin bertambah dari tahun ke tahun.

Kawasan Jazirah Arab juga akan semakin menghijau. Hal ini dapat disaksikan oleh mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Mekah di mana kawasan Tanah Arab kembali menghijau, bukan lagi padang pasir yang melaut. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak berlakunya Kiamat sehingga Tanah Arab kembali hijau dipenuhi sungai.” (HR Muslim, No. 157)

Ini kerana bumi Arab dahulu pernah subur menghijau lebih kurang 10 ribu tahun dahulu dan fakta ini diakui oleh pakar geografi dan digelar sebagai Savanna Hijau. Namun seiring waktu ia menjadi tandus kering dan akan kembali hijau pada akhir zaman menjelang kiamat. Ini berikutan usaha oleh pemerintah untuk menghijaukannya dengan kesedaran pertanian dan penternakan, dengan mewujudkan pengairan ke ladang-ladang.

Keduanya akibat pergerakan iklim sejuk yang bergerak ke arah Tanah Arab dan semenjak 2013, Tanah Arab mengalami musim sejuk sehingga bersalji.

Hal ini dapat dirujuk kepada Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kamu semua melihat panji-panji hitam datang dari arah Khurasan, maka sambutlah mereka walaupun kamu terpaksa merangkak di atas salji.

Sesungguhnya di tengah-tengah panji-panji itu ada khalifah Allah yang mendapat petunjuk iaitu Al-Mahdi.” (HR Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Bumi pula akan mengalami hujan yang panas. Menurut ulamak, ini kerana hujan berkurangan sehingga mengakibatkan bumi menjadi panas. Semenjak tahun 1980 hingga 2021, kepanasan global ini meningkat dua kali ganda. Salji dan ais di Artik dan Antartika sudah mula mencair dan dibimbangi bakal menenggelamkan bumi.

Antara tanda lain juga masa terasa berlalu begitu cepat. Perkara ini telah diingatkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis; Daripada Abi Hurairah r.a  Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berlaku hari Kiamat sehingga masa (zaman) pantas berlalu; setahun seperti sebulan, sebulan seperti se-Jumaat (seminggu), se-Jumaat seperti sehari dan sehari seperti sesaat. Satu saat yang dimaksudkan adalah nyalaan api yang membakar ranting kering.” (Hadis Riwayat Ahmad, 10560)

Segala tanda-tanda akhir zaman sudah jelas pada kita, terserah pada diri masing-masing untuk mempersiap bekal untuk menghadapinya. Bekal paling utama ialah bekal iman yang akan menyelamatkan kita di mana pun berada.

Gambar: Ilustrasi Nakheel Tower yang dirancang pembinaannya tetapi terpaksa dibatalkan kerana masalah ekonomi pada waktu itu.

(1819)

Bangunan pencakar langit dan banyaknya terowong di Mekah tanda akhir zaman

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>