Bantuan dan akhlak petugas PAS sewaktu misi bersihkan sekolah rosak teruk dilanda banjir undang rasa terharu guru besar

BANTUAN yang datang tanpa disangka waktu memerlukan bukan sahaja memekarkan kesyukuran, ia diterima dengan rasa terharu yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.

Begitulah perasaan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sugud, Kota Kinabalu, Hamzah Ismail tersentuh dengan pengorbanan para petugas PAS dan anggota Jabatan Amal yang membantu membersihkan sekolah yang sudah ‘total lost’ akibat banjir Ahad lalu.

Selain sangat berbangga dengan akhlak mulia anggota Jabatan Amal dan Briged Muslimat yang sudi turun menghulur pertolongan, beliau juga terpesona dengan kepatuhan mereka kepada ibadat.

“Saya hampir menitiskan air mata, kerja berat mengangkat tanah, masuk sahaja waktu (solat), ada yang melaungkan azan dan terus berhenti, mengerjakan solat.

Petugas Jabatan Amal PAS sedang bergotong-royong membersihkan sekolah yang dilanda banjir di Kota Kinabalu Ahad lalu. (Gambar: Harakahdaily)

“Inilah yang menjadi harapan saya sebagai guru. Rasa sangat terharu, kamu dapat menjaga solat dengan bagus,” ucap beliau kepada kira-kira 30 petugas misi pembersihan tersebut sebagaimana laporan portal Harakahdaily Isnin lalu.

Menurut Hamzah, bantuan yang diberikan oleh para petugas PAS memang sangat meringankan beban pihak sekolah.

Lebih terharu apabila salah seorang petugas yang terlibat, Norsheela Shamsuddin yang merupakan seorang ibu kepada tujuh anak juga turut sama mencurah bakti. Namun beliau akan memastikan kerja rumah dan keperluan anak-anaknya selesai sebelum ‘turun padang’ kerana baginya keluarga tetap diutamakan tanpa mengabaikan tuntutan gerak kerja.

Misi tersebut disertai oleh Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah, Briged Muslimat negeri, Ameerah Putatan dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Putatan. Turut hadir Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita ADUN Dilantik, Hasima Abu Nawas merangkap Timbalan Pengarah Ameerah PAS Sabah.

Gambar: Petugas Briged Muslimat PAS sedang membersihkan lumpur akibat banjir di Sekolah Kebangsaan Sugud, Kota Kinabalu. (Harakahdaily)

Bantuan dan akhlak petugas PAS sewaktu misi bersihkan sekolah rosak teruk dilanda banjir undang rasa terharu guru besar

| Semasa |