Banyak penyakit berpunca dari perut, makanlah untuk hidup dan bukan hidup untuk makan

TATACARA pengambilan makanan secara sederhana yang diajar Rasulullah SAW telah dibuktikan secara saintifik berkesan menjaga kesihatan tubuh badan di mana kebanyakan penyakit adalah disebabkan usus yang tidak sihat atau bermasalah.

Sering kita dengar keluhan malas, mengantuk malah sehingga tahap liat beribadat apabila perut terlalu kenyang.

Perkara ini telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW kepada kita di mana Baginda berpesan, “Tidak ada ruang yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Jika tidak mampu, maka ia dapat memenuhkan perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minumandan sepertiga lagi untuk nafasnya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Menurut Dr Zubaidi Ahmad, usus yang sihat membantu memastikan nutrien penting diserap daripada makanan, menjamin sistem imun yang sihat dan mencegah beberapa penyakit serius seperti kanser kolon.

Beliau menyarankan enam langkah mudah yang boleh dilakukan setiap hari untuk menjaga kesihatan usus iaitu makan lebih serat dan banyakkan minum air, hadkan pengambilan kafein, dapatkan pro dan prebiotik secukupnya, makan diet berkhasiat yang rendah lemak, dan banyakkan aktiviti bersenam.

Kehadiran serat daripada pelbagai jenis sumber makanan seperti roti mil penuh, beras perang, buah-buahan dan sayur-sayuran, kekacang dan oat serta meminum banyak air membantu melembutkan najis dan mencegah sembelit serta mengurangkan simptom beberapa gangguan penghadaman contohnya, buasir dan sindrom iritasi usus.

Usus yang sihat membantu memastikan nutrien penting diserap daripada makanan, menjamin sistem imun yang sihat dan mencegah beberapa penyakit serius seperti kanser kolon. Foto: klikdokter.com

Manakala minuman yang mengandungi kafein seperti kopi, kola dan minuman ringan boleh meningkatkan asid di dalam perut, seterusnya menyebabkan pedih ulu hati bagi sesetengah orang.

Selain itu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dan bakteria tidak baik adalah penting, dan salah satu caranya ialah dengan mengambil makanan yang kaya dengan probiotik (yang mengandungi bakteria baik) dan juga mengambil prebiotik (‘makanan’ untuk bakteria baik) secukupnya.

Probiotik yang juga dipanggil ‘bakteria baik’ terdapat secara semula jadi di dalam usus dan dalam beberapa jenis makanan seperti yogurt, minuman susu berkultur, keju dan tempe; manakala prebiotik ialah bahan yang menggalak pertumbuhan atau aktiviti mikro organisma seperti probiotik yang menyumbang kepada kesihatan usus.

Kita sebagai hamba Allah sepatutnya mengamalkan prinsip makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan kerana apabila nafsu dijadikan panduan, tugas sebagai khalifah di muka bumi mungkin terjejas.

Mengelakkan makanan berlemak tinggi seperti makanan bergoreng, burger, sosej dan hidangan berminyak melambatkan penghadaman dan boleh menyebabkan sakit perut serta pedih ulu hati. Beberapa kajian juga menunjukkan pengambilan lemak yang tinggi juga boleh mempengaruhi komposisi bakteria usus.

Aktiviti fizikal seperti berjalan, berlari atau menari juga bagus untuk kesihatan usus di mana ia dapat meningkatkan kadar pernafasan dan denyutan jantung, juga memberi faedah kepada penghadaman.

Akhirnya, tabiat membuang air besar secara sihat seperti pergi ke tandas sekali sehari sepatutnya tidak dipandang ringan. Cubalah elakkan daripada menahan keinginan untuk membuang air besar walaupun sesibuk manapun seseorang itu kerana kesihatan tidak boleh dibeli dengan masa dan harta.

Kita sebagai hamba Allah sepatutnya mengamalkan prinsip makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan kerana apabila nafsu dijadikan panduan, tugas sebagai khalifah di muka bumi mungkin terjejas. Janganlah kita hanya hidup untuk makan kerana tiada apa yang akan membezakan kita dengan haiwan nantinya.

Gambar hiasan: ms.farmforage.com

Banyak penyakit berpunca dari perut, makanlah untuk hidup dan bukan hidup untuk makan

| Kesihatan, Semasa |