Belum mampu siapakan rumah, adik terpaksa tempatkan abang OKU dalam rumah terbengkalai

HAMIDON Tahir, 62, individu kurang upaya (OKU). Bukan sahaja bisu, malah tangan kanannya tidak boleh digerakkan. Difahamkan, lelaki ini tidak pernah berkahwin dan tinggal di sebuah rumah terbengkalai hanya berlantaikan tanah merah dan tetulang besi (rebar) dan dipenuhi sisa bahan binaan. Tambah menyedihkan, rumah berkenaan tidak mempunyai pintu dan tingkap, sebaliknya hanya ditutup dengan jeriji besi.

Beliau yang tidak mampu bekerja berikutan kecacatannya hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM250 sebulan untuk kelangsungan hidup. Hamidon yang dipanggil Pak Anjang dalam kalangan ahli keluarga sebelum ini tinggal bersama ibunya di Kampung Sungai Baru, Ban Pecah, Tanjung Piandang, Perak.

Namun selepas ibunya meninggal dunia pada 2010, Pak Anjang dibawa adiknya, Hussain berpindah ke Kuala Kubu dan menetap di bengkel kimpalan besi miliknya.

Walaupun menjual rumah untuk menyelamatkan bengkel perusahaannya, namun perniagaan diusahakan gagal, menyebabkan Hussain hilang segala-galanya. Selepas menjual rumah dan bengkel ditutup, Hussain dan keluarganya terpaksa menyewa rumah lain.

Pak Anjang mengumpul tin kosong sebelum dijual ke pusat kitar semula.

Memandangkan Hussain mempunyai anak perempuan dan bimbang berlaku kejadian tidak diingiini, maka Hussain terpaksa menempatkan Pak Anjang di rumah terbengkalai yang dimiliki isterinya berikutan dia tidak mampu untuk menyewakan bilik untuk Pak Anjang. Rumah terbengkalai itu sekadar hanya boleh diduduki, tiada sebarang perabot dan hanya mempunyai kemudahan air serta elektrik.

Pak Anjang banyak menghabiskan masa di masjid dan hanya balik ke rumah itu untuk menyalin pakaian dan tidur. Rumah daif itu hanya disinari sebiji mentol pada waktu malam.

Walaupun tinggal di situ, namun Hussain masih mengambil berat kebajikan abangnya dan kerap menjenguk Pak Anjang selain memastikan abangnya tidak berlapar.

Hussain berhasrat menyelesaikan pembinaan rumah terbabit demi keselesaan abangnya, namun dia masih belum mempunyai wang yang cukup untuk berbuat demikian.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 44 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Hussain datang membantu membetulkan mentol yang rosak memandangankan Pak Anjang tinggal di dalam gelap dengan hanya bertemankan sebiji mentol pada waktu malam.

Belum mampu siapakan rumah, adik terpaksa tempatkan abang OKU dalam rumah terbengkalai

| Advertorial, Semasa |