Benarkah Ah Cheng Laksa guna ramuan tidak halal?

TULAR sehari dua ini di media sosial khususnya WhatsApp berkenaan status halal premis makanan Ah Cheng Laksa yang didakwa menggunakan ramuan yang tidak halal dan tidak sesuai dikunjungi pelanggan beragama Islam.

Pelanggan Muslim yang sering ke sana mula curiga dan was-was terhadap dakwaan tersebut, dan tertanya-tanya status sebenar restoran itu.

Justeru itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jakim semalam diharapkan dapat memberi sedikit pencerahan terhadap isu ini.

Menurut Jakim, premis makanan Ah Cheng Laksa masih belum menjadi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Walau bagaimanapun, “central kitchen’’ bagi premis makanan berkenaan yang didaftar atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd di lokasi Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor telah dipersijilkan halal.

Namun begitu, pensijilan halal yang diperolehi oleh “central kitchen” tidak bermakna seluruh rangkaian outletnya telah dipersijilkan halal kerana bagi permohonan premis makanan berangkai, terdapat syarat-syarat khusus pensijilan halal yang perlu dipenuhi.

Jakim juga menyarankan kepada para pengguna untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Dalam kenyataannya juga, Jakim mengalu-alukan usaha murni pihak syarikat untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk seluruh rangkaian premisnya agar kekeliruan status halal dapat diatasi dengan berkesan.

Dalam kes seumpama ini, Jakim juga menyarankan kepada para pengguna untuk mengutamakan produk atau premis makanan yang telah mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

Premis atau produk makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia bukan sahaja dijamin halal malahan ianya toyyiban iaitu suci, bersih dan selamat serta mengikut garis panduan, standard, peraturan dan perundangan berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.

Kita bukan sekali ini sahaja digemparkan dengan isu tular seperti kes Ah Cheng Laksa ini, justeru itu sebagai pengguna seharusnya bertindak lebih waspada sebelum menyebarkan sesuatu tular berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya.

Seeloknya rujuk pihak berautoriti terlebih dahulu agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara dan tersilap menganiayai mereka yang tidak bersalah.

Mencari yang halal itu wajib untuk umat Islam. Maka, biasakanlah diri untuk merujuk Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my untuk menyemak produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal. Sangat mudah bukan, jangan biarkan diri anda diselubungi rasa was-was.

#statushalalAhChengLaksa #Jakim #statushalal #halalantoyyiba #mencariyanghalalituwajib #tvalhijrah #digitalcontent #digitalmedia #portalhalalmalaysia #premishalal #produkhalal #verifyhalal #tvkitauntuksemua #isuviral #RokiahIsmail

Benarkah Ah Cheng Laksa guna ramuan tidak halal?

| Semasa |