Selepas 53 tahun Rukun Negara diwujudkan, yang antara matlamatnya untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa; gendang permusuhan berdasarkan perbezaan ini tetap dipalu setiap kali menjelang pilihanraya.
Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebagai tindakan susulan selepas tercetus Tragedi 13 Mei 1969 tidak dihayati. Rusuhan berdarah yang berpunca dari perbalahan parti politik berasaskan kaum ini kelihatannya telah dilupakan dan tidak diambil iktibar.
Tindakan memanipulasi isu agama mahupun bangsa menjadi senjata pelbagai pihak untuk mencapai kepentingan politik. Hantaran berkisar naratif kaum dan agama yang diungkit semula dan diwariskan dari generasi ke generasi yang banyak mencetuskan perbalahan menguasai media sosial ketika ini.
Usaha-usaha yang dibuat oleh pemimpin sebelum ini untuk memupuk sikap menyelami budaya satu sama lain, memelihara cara hidup demokratik, mencapai perpaduan lebih erat dan menikmati kemakmuran negara bersama seolah-olah disapu tsunami pilihanraya.
Menjadikan Islam sebagai cara hidup adalah salah satu kunci utama untuk mencapai negara yang diimpikan sebagaimana yang diacuankan oleh Rasulullah SAW. Ini kerana kerangka Piagam Madinah yang menjadi pelan tindakan dalam mengendalikan negara ini mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam konteks yang luas. Politik kepartian yang sempit hanya mencetuskan permusuhan.
Kegagalan memahami tujuan berpolitik oleh kebanyakan pihak menyebabkan keadaan tanah air porak-peranda akibat dijadikan medan politik serang-menyerang antara satu sama lain. Ketidakstabilan negara ini akhirnya merugikan rakyat.
Perkara ini boleh dielakkan sekiranya ahli politik dapat mengurus persaingan ini secara sihat dan matang. Perundingan, memahami adab berbeza pendapat serta mengutamakan kepentingan rakyat dapat menyedarkan ahli politik akan tujuan sebenar manusia berpolitik.
Membazir terlalu banyak masa menguruskan konflik yang timbul akibat ketidakmatangan berpolitik melambatkan proses kemajuan negara dan meletakkan semua pihak dalam keadaan yang tidak selamat, manakala memanipulasi agama hanya kerana laba dunia sangatlah munafik sifatnya.
Dalam bulan kemerdekaan ini sewajarnyalah kita menjenguk sejenak ke halaman sejarah negara; mengimbau bagaimana susah payahnya nenek moyang kita yang terpaksa bergadai nyawa membeli harga sebuah kemerdekaan. Sedihnya mereka melihat anak cucu serang-menyerang sesama sendiri bermodalkan agama demi kepentingan diri.
Gambar: Teks Piagam Madinah