‘Bibik Jerman’ idaman isteri menghantui suami sepanjang PKP

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

MENJADI isteri dan ibu berkerjaya cukup melelahkan seorang wanita, apatah lagi jika suami pula jenis lelaki konservatif yang mahukan isteri jadi suri rumah ‘zaman dulu-dulu’. Semua kerja rumah terbeban atas pundak isteri, bermula celik mata hingga ke lewat malam.

Pelbagai rungutan para isteri melintas di media sosial, menyatakan betapa penatnya tugas memasak, apatah lagi sewaktu semua ahli keluarga berlonggok di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jadi tidak hairanlah sebilangan isteri terbeliak mata apabila terpandang iklan ‘bibik Jerman’ yang sangat tepat waktu kemunculannya. Bagai musafir sesat yang terjumpa oasis, masing-masing berimpian dapat memiliki ‘bibik’ baharu yang khabarnya banyak benda mampu dilakukannya.

Antara luahan di laman Facebook seorang suami mengenai keinginan isteri memiliki Thermomix yang sedang hangat diperkatakan kini.

Para suami pula kelihatan banyak berdoa di media sosial; dengan harapan luahannya itu dibaca oleh isteri mereka. Ramai yang berdoa supaya isteri mereka tidak terpandang iklan yang melintas di depan mata supaya selamat wang mereka sejumlah lebih kurang RM7 ribu.

Kalau suatu ketika dahulu mereka berdoa yang sama apabila kehadiran periuk tekanan Noxxa memasuki pasaran Malaysia dan mendapat perhatian suri rumah, hari ini mereka berdoa lebih giat lagi kerana harga ‘bibik Jerman’ bernama Thermomix ini ternyata memukau isteri yang sedang mencari penyelesaian kepada situasi yang kian menekan perasaan.

Thermomix dikatakan bukan sekadar memudahkan kerja memasak tetapi pintar kerana pengguna hanya perlu memilih resipi yang dikehendaki di skrin dan memasukkan bahan yang diperlukan. Urusan seterusnya serahkan sahaja pada ‘bibik’ ini.

55 ribu resipi seluruh dunia yang diprogramkan dalam periuk ajaib ini mampu menyelesaikan kebuntuan suri rumah memikirkan juadah pilihan setiap hari.

Thermomix juga dikatakan boleh menggantikan fungsi 20 alatan lain di dapur serta mempunyai pelbagai kelebihan lain lagi seperti memasak tanpa meninggalkan suasana bahang di dapur.

Para suami pula kelihatan banyak berdoa di media sosial; dengan harapan luahannya itu dibaca oleh isteri mereka. Ramai yang berdoa supaya isteri mereka tidak terpandang iklan yang melintas di depan mata supaya selamat wang mereka sejumlah lebih kurang RM7 ribu.

Ternyata fungsi dan kelebihan yang banyak pada pembantu dapur ini sememangnya mendebarkan hati para suami. Terserah kepada merekalah untuk menggubah ayat indah untuk menolak keinginan isteri sekiranya pasangan mereka menyuarakan kehendak hati mereka.

Ungkapan ‘secanggih mana pun sesuatu alat di dapur, manakan sama dengan masakan hasil kasih sayang pasangan sendiri’ mungkin juga boleh digunakan.

Yang penting, para suami yang tidak berkemampuan menghadiahkan ‘bibik’ ini kepada isteri – pandai-pandailah memujuk, menundukkan keinginan isteri agar tidak menggunakan alasan PKP untuk memiliki ‘madu’ idaman hati ini.

‘Bibik Jerman’ idaman isteri menghantui suami sepanjang PKP

| Semasa |