Biji kurma bertunas subur dalam genggaman tangan jenazah syuhada yang sempurna jasadnya

PANDANGAN sepintas lalu gambar ini, kita hanya perasan sebatang tunas pokok di tanah berbatuan. Namun jika diteliti, barulah disedari ia adalah gambar tangan manusia yang terselit pucuk daun yang menghijau dari sebatang tunas antara ibu jari dan telunjuknya.

Sebenarnya gambar ini menunjukkan tangan seorang syuhada’ Gaza yang muncul di sebalik runtuhan bangunan, dan tumbuhan yang sedang mekar menghijau pucuk daunnya itu adalah daripada sebiji kurma.

Menurut keterangan gambar ini yang disiarkan dalam laman Instagram milik Dr Ahmed Moghrabi, Ketua Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif di Hospital Naser, Khan Younis; apa yang lebih dikagumi daripada proses tumbuhnya pucuk muda biji kurma ini ialah bagaimana jasad syuhada’ Palestin ini kekal segar walaupun ia dijangka telah meninggal lebih daripada tiga bulan lalu di bawah runtuhan.

Menurut Dr Ahmed, sesuatu yang ajaib berlaku apabila tapak tangannya bersama jari jemari, tisunya, kukunya, malah cap jarinya serta sambungan struktur ke pergelangan tangannya dan warna kulitnya membuktikan bahawa hampir tiada dekomposisi dan tidak berlaku proses leraian sel dan tisu. Ia sekaligus menunjukkan kematian jasadnya baru saja berlaku beberapa jam, berlawanan dengan proses pertumbuhan daripada sebiji kurma yang memakan masa yang lama.

“Bukti dan kekuasan daripada Allah bahawa pemilik jasadnya adalah dari kalangan syuhada’ yang tidak dimamah bumi apatah lagi mereput.

Dr Ahmed Moghrabi

“Maha Suci Allah, kasihNya kepada syuhada’ Bumi Gaza,” tulis beliau dalam hantarannya di laman itu.

Antara ribuan komen yang ditinggalkan dalam hantaran itu terdapat komen yang memetik kata-kata yang tular tentang perjuangan Palestin “Mereka cuba menguburkan kita tetapi mereka tidak tahu kita ini adalah benih-benih yang akan tumbuh”. Komen ini mendapat tanda suka ribuan netizen yang lain.

Komen lain yang senada juga menyebut “Gambar ini sangat bermakna dan memberitahu; kami terbit, kami tumbuh, kami membesar dan tak akan pernah berakhir”.

Rata-rata mereka pula memberikan kata-kata semangat kepada perjuangan Palestin dan mengutuk kekejaman regim yang tidak habis-habis memusnahkan kemanusiaan itu.

Dr Ahmed Moghrabi sebelum ini telah menghadapi situasi yang sangat sukar di hospital Naser di mana beliau mengalami kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan ketidakupayaan untuk menjalankan pembedahan ke atas pesakit.

Segala penderitaan itu didokumentasi oleh beliau ke dalam sebuah video yang menggambarkan”dua hari keadaan ngeri di Hospital Naser”.

Gambar: Jenazah syuhada’ Gaza yang memegang tunas kurma. (IG Dr Ahmed Moghrabi)

(5521)

Biji kurma bertunas subur dalam genggaman tangan jenazah syuhada yang sempurna jasadnya

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>