Borong barang keperluan melebihi had dilarang dalam Islam – Sheikh Sajid

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

FENOMENA warga di beberapa negeri berpusu-pusu mengunjungi pusat beli-belah dan pasaraya untuk membuat stok barangan makanan dan keperluan apabila perintah kawalan pergerakan bermula esok hingga akhir bulan ini dikeluarkan malam tadi menunjukkan masyarakat sedang panik menghadapi serangan Covid-19 yang semakin kritikal.

Pelbagai gambar di beberapa tempat dikongsi warga net ke dalam laman sosial, kebanyakannya memperlihatkan deretan rak kosong yang sebelumnya penuh dibarisi barangan.

Beberapa gambar pula menunjukkan keadaan warga tua yang kelihatan terpinga-pinga mengadap rak kosong, dengan barisan kata yang menyatakan kekecewaan terhadap sikap segelintir pihak yang pentingkan diri sendiri, membolot semua barangan yang ada seolah-olah orang lain tidak perlu hidup.

Sikap yang diperlihatkan sewaktu berdepan bencana ini menggambarkan manusia cepat hilang pedoman sekiranya hanya memikirkan diri sendiri. Perkara berkaitan sikap ini bukan terbatas hanya di sebuah negara, malah turut dialami negara lain.

Menurut Sheikh Sajid, Islam melarang pembelian secara “borong” terhadap sesuatu barang sehingga memberi kemudaratan kepada orang lain, malah perlulah bersifat sabar dalam menghadapi kekurangan barangan keperluan tersebut.

Justeru itulah peringatan dari Sheikh Sajid Umar yang dimuatkan dalam laman Twitternya patut dihadam oleh semua supaya sikap sebegini tidak terus meruntuhkan rasa kasih sayang sesama manusia.

Menurut Sheikh Sajid, Islam melarang pembelian secara “borong” (panic buying) terhadap sesuatu barang sehingga memberi kemudaratan kepada orang lain, malah perlulah bersifat sabar dalam menghadapi kekurangan barangan keperluan tersebut.

Beliau merujuk kepada fenomena yang sedang berlaku ekoran arahan perintah berkurung dan perintah kawalan pergerakan di seluruh dunia.

Ciapannya itu tersebar di media sosial dan turut dipamerkan di meja juruwang di sebuah kedai sekitar United Kingdom.

Dalam ciapan sebelumnya, beliau menyarankan kepada pihak masjid supaya menganjurkan pertandingan seperti membaca, menghafaz dan pelbagai aktiviti bergantung kepada tahap umur bagi mengekalkan sikap proaktif kanak-kanak dalam tempoh berkurung.

Ini bagi mengelakkan mereka membazir waktu dengan hanya bermain telefon dan perkara yang tidak bermanfaat.

Gambar: Ciapan Twitter Sheikh Sajid Umar yang melarang pembelian panik.

Borong barang keperluan melebihi had dilarang dalam Islam – Sheikh Sajid

| Agama, Semasa |