Ibu hamil perlu ‘ingat anak’ masa pilih makanan, silap makan boleh sebabkan anak lembam

ORGAN dalam tubuh manusia terbentuk sebaik sahaja persenyawaan berlaku, dan otak antara organ yang paling awal; iaitu kira-kira sebulan. Pada masa ini seorang wanita mungkin tidak tahu mereka sedang hamil. 

Bagi memastikan perkembangan otak yang sempurna ketika dalam kandungan, terdapat dua nutrient yang sangat diperlukan. Jika tidak dapat diambil secara natural dalam pemakanan, mereka harus mengambil dalam bentuk suplemen pil, iaitu asid folik dan omega 3.

Asid folik penting bagi mengelakkan kecacatan ketika pembentukan otak dan saraf bayi. Kecacatan ini dikenali sebagai ‘neural tube defect’kerana ia digunakan dalam pembentukan DNA dan neurotrismitter pada otak. Asid folik juga sangat penting dalam penghasilan tenaga dan pembentukan sel darah merah.

Dos suplemen asid folik yang dicadangkan adalah 400 – 600 mikrogram ketika sedang cuba hamil dan meneruskannya apabila disahkan hamil. Asid folik juga banyak dalam sayur-sayuran berdaun hijau, dan bijiran penuh seperti beras perang.

Selain itu saya juga menggalakkan pengambilan makanan yang mengandungi banyak omega 3 bagi pembentukan otak yang sempurna. Ini kerana organ otak sendiri mengandungi tahap lemak yang tinggi. Omega 3 adalah lemak sihat yang sangat diperlukan dalam pembentukan sel-sel otak agar ia berfungsi dengan baik, terutama bagi ibu hamil mengalami diabetes mellitus.

ORGAN dalam tubuh manusia terbentuk sebaik sahaja persenyawaan berlaku. Pada masa ini seorang wanita mungkin tidak tahu mereka sedang hamil. – Gambar: aladokter.com

Omega 3 banyak terdapat dalam ikan laut bebas seperti ikan salmon, kacang almond dan walnut serta buah avocado. Ia juga boleh didapati dari suplemen minyak ikan yang banyak dijual di farmasi. Dos yang boleh diambil adalah 1000mg.

Selain itu, pengambilan mineral kalsium yang boleh didapati dengan minum susu, produk tenusu dan telur penting untuk ibu hamil. Jika alahan pada susu dan produk tenusu, mereka boleh ambil suplemen kalsium yang banyak dijual di farmasi iaitu antara 1200-1500mg sehari. Pengambilan kalsium yang secukupnya penting untuk bayi bagi pembentukan tulang, juga melindungi ibu dari masalah pre-eclampsia.

Selain dari pemakanan, ransangan pembentukan otak dapat ditingkatkan dengan merangsangkan deria bayi ini walaupun masih dalam kandungan. Ini kerana bayi boleh mendengar dan “merasa sentuhan” ibubapa.

Perbanyakkan aktiviti seperti bercakap, bernyanyi atau membaca ayat al-Quran untuk merangsang tindakbalas bayi. Pegang, usap atau sekadar sentuh abdomen juga cukup memberikan mesej pada bayi dalam kandungan.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kesihatan bayi dalam kandungan sangat bergantung kepada kesihatan wanita yang sedang hamil.  Justeru itu ibu hamil perlu banyakkan makan karbohidrat kompleks seperti bijiran penuh contohnya beras perang dan basmati bagi mengurangkan tahap gula yang tinggi, buah dan sayuran serta minum air kosong secukupnya.

Tinggalkan makanan yang dikatakan sebagai makanan pro-keradangan iaitu minuman bergas, karbohidrat berproses seperti kek, donut dan makanan dari produk tepung, makanan yang banyak pewarna, perasa dan pengawet dan makanan bergoreng menggunakan minyak yang berulang kerana ia sumber lemak trans.

Selain itu, protein sihat seperti daging putih iaitu ikan, telur dan ayam perlu diambil untuk pembinaan otot anak dalam kandungan.

Tinggalkan makanan yang dikatakan sebagai makanan pro-keradangan iaitu minuman bergas, karbohidrat berproses seperti kek, donut dan makanan dari produk tepung, makanan yang banyak pewarna, perasa dan pengawet dan makanan bergoreng menggunakan minyak yang berulang kerana ia sumber lemak trans.

Wanita hamil yang gemar memakan makanan yang mempunyai tahap lemak trans yang tinggi, mempunyai risiko besar mendapat anak yang mempunyai masalah kanser darah, lembam otak, masalah penglihatan, tulang yang rapuh dan penyakit metabolik seperti diabetes jenis 1 dan kegemukan semasa kanak-kanak.

Jadi untuk mendapat anak sihat dan pintar, ibu hamil perlu mempunyai kesedaran tentang pemakanan sihat. Ia bukan setakat memberikan kebaikan dan manfaat pada ibu tetapi juga pada anak yang masih di dalam kandungan. Jadi nasihat saya, bila hendak makan, ingat anak.

Gambar hiasan: Ibu hamil perlu menjaga pemakanan untuk mendapat anak yang sihat dan pintar.

*Dr Zubaidi Haji Ahmad adalah pengamal perubatan am.

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Ibu hamil perlu ‘ingat anak’ masa pilih makanan, silap makan boleh sebabkan anak lembam

| Kolumnis, Semasa |