Bukan engkar arahan PKP tetapi lelaki ini tiada rumah untuk pulang

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

DISURUH pulang ke rumah, lelaki ini mahu atau tidak mahu terpaksa juga melanggar arahan. Bukan engkar, tetapi sememangnya dia tidak tahu mahu pulang ke mana.

Tidur di merata-rata tempat, kadangkala terpaksa melawan rasa kesejukan yang menggigit hingga ke tulang hitam. Lelaki ini tiada tempat tinggal, tempat kerjanya adalah rumahnya.

Bekerja sebagai pengawal keselamatan dan secara syif, beliau akan menjadi gelandangan sebaik sahaja syifnya tamat. Rumahnya di mana-mana.

Namun dalam situasi negara sedang berdepan ancaman penularan wabak Covid-19, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dapat dipatuhi lelaki ini sepenuhnya.

Dalam satu video di laman Facebook Kami Sokong PDRM, lelaki berbaju hijau itu pada mulanya diminta pulang ke rumah oleh pihak berkuasa bertugas kerana berada di persekitaran Masjid Negara.

Namun apabila mendengar jawapan beliau, wanita itu tersentuh rasa kemanusiaannya dan seolah-olah “membenarkan” lelaki itu tidur di situ.

Namun apabila mendengar jawapan beliau, wanita itu tersentuh rasa kemanusiaannya dan seolah-olah “membenarkan” lelaki itu tidur di situ.

Beliau malah memberi bungkusan makanan dan minuman kepada lelaki tersebut, yang kemudiannya dikongsikan pula lelaki itu kepada beberapa rakan senasib dengannya.

Sikapnya yang tidak hanya mementingkan diri itu memancarkan kejujuran dirinya, yang bukan sengaja mereka-reka jawapan.

Dalam apa keadaan sekalipun, kemanusiaan masih dititik-beratkan melalui kelonggaran budi bicara, kerana peraturan dan undang-undang itu sendiri sifatnya menjaga kesejahteraan.

Sebagai warga yang masih mempunyai destinasi, sepatutnya mereka yang masih berdegil dalam mematuhi arahan PKP mengambil iktibar melalui kisah lelaki berbaju hijau ini.

Kekallah berada di rumah sebagai tanda syukur anda masih memiliki kediaman yang mampu melindungi anda sekeluarga dari deraan panas dan lenjun dek hujan.

Bukan engkar arahan PKP tetapi lelaki ini tiada rumah untuk pulang

| Semasa |