Bulan puasa perbanyakkan istighfar, usah ‘membawang’ dan adu domba

OLEH SITI RUBAYA MOHD ISA

AKU kait kata disulami bait makna tentang hakikat azali setiap insan; awalnya hidup, akhirnya mati. Akhir pada maknawi akhir pada duniawi. Sedar aku, apabila jasad terbujur kaku, bermula perjalanan kembara roh yang hakiki. Hakikatnya aku pendosa, tidak maksum seperti nabi.

Justeru hati bertanya sendiri, andai ini Ramadan terakhir, di mana akhir aku? Syurgakah destinasi  atau marak neraka yang menanti?

Andai ini Ramadan terakhir, pasti berteleku aku, menyelak lembar hidup mencari khilaf walau sebesar hama. Segera aku memohon kemaafan, kerana aku mahu bebas dari dirantai belenggu hitungan dosa sesama manusia.

Andai ini Ramadan terakhir, aku bersedia memaafkan bahkan melupakan kerana tidak layak aku menjadi hakim, sebaliknya aku adalah hamba yang akan didakwa.

Andai ini Ramadan terakhir, cinta pada dunia wajib aku pancung; ditanam dalam-dalam agar aku  bangun kembali dengan roh semangat beribadah, menekuni ketaatan dan meminggirkan kemaksiatan. Biarlah bibirku sentiasa istighfar, berselawat pada pemberi syafaat, berzikir dan berdoa bukan dikotori sampah umpat keji, caci maki juga mengadu domba.

Doa anak soleh dapat mengalirkan manfaat kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia. (Gambar hiasan: Majalah Pa&Ma)

Biarlah Ramadan terakhir ini terisi qiamullail, menghidupkan malam, mempertingkatkan amalan. Berbekalkan istiqamah, ku berharap bisa meraih malam terbaik seribu bulan. Istimewa yang takkan digapai pada waktu dan ketika lainnya; ia permata Ramadan, lebih mahal nilaian dari harta seisi dunia, Lailatulqadar. Temukan aku Ya ALLAH dengan keajaiban ini.

Jika ini Ramadan terakhir, kerana aku isteri; taat aku dalam makruf. Maafkan aku suami jika ada kata mengguris hati, tindakan merobek hati. Sungguh, redamu suami juga menjadi penentu reda Pencipta kepadaku.

Kerana aku adalah ibu, pesanku kepadamu wahai permataku; indah dunia hanya fatamorgana. Seksa neraka itu nyata. Biarlah hidup berpaksi iman bukan berakar umbi maksiat. Saat aku sudah tiada, titipkan doa pada sang Pencipta agar aku berada di taman syurga. Ya Ilahi, kala Ramadan terakhir ini, kumohon jadikan anakku anak soleh, justeru mengalirlah manfaat walau aku sudah tiada di dunia fana ini.

Saat ini, aku memandang keluarga tercinta, rakan malah segalanya penuh cinta, penuh hiba kerana singkat waktu yang tersisa membuat aku menghargai setiap detik bersama.

Suamiku, anakku, sahabatku ingatlah kata penuh makna nukilan Imam al-Ghazali, “Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah berbuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering dilupa adalah bersyukur.”

Suamiku, anakku, sahabatku ingatlah kata penuh makna nukilan Imam al-Ghazali, “Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah berbuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering dilupa adalah bersyukur.”

Ya benar, yang singkat itu waktu. Yang menipu itu dunia. Yang dekat itu adalah kematian. Kerana itu, lukis kehidupanmu berdakwatkan suruhan yang Esa. Jauhi dosa, nanti di akhirat sanalah seluruh lukisan itu akan kita kesali atau nikmati!

Sungguh wahai suami, anakku, sahabat juga teman; aku menulis sebagai pesanan untuk diri sendiri jua. Supaya aku terus berjuang dalam taqqarub walaupun telah beberapa kali tumbang, bangkit kembali aku dengan satu azam, semoga aku dicintai-Nya, diampuni-Nya dalam detik singkat Ramadan terakhir ini.

Andai ini Ramadan terakhir, mata kututup, titis air mata membasahi pipi. Lantas sahaja aku takut kerana seksa neraka tidak terperi malah mati tidak pernah kenal istilah tunggu dan nanti!

*Gambar hiasan: Bulan Ramadan yang penuh keberkatan seharusnya dipenuhi dengan ibadat, bukan dibazirkan dengan membicarakan perkara sia-sia seperti mengumpat dan seumpamanya. (muis.org.my)

Penulis ialah Pemenang Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Esei “Andai Ini Ramadan Terakhir” TV AlHijrah.

Bulan puasa perbanyakkan istighfar, usah ‘membawang’ dan adu domba

| Semasa, Tumpang Bahu |