Centenarian pulih dari Covid-19, wanita berusia 101 ini beri sinar baharu kepada pesakit lain

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

BEBERAPA hari lepas, lelaki berusia 101 tahun dari Itali memberi harapan baharu kepada dunia, lebih-lebih lagi kepada para pesakit Covid-19 apabila beliau sembuh dari penyakit itu. Ramai yang mula yakin bahawa penyakit ini tidak mampu menawan mereka yang kuat semangat juangnya.

Dua hari lepas pula, berita tentang seorang wanita dari Belanda yang juga berusia 101 sembuh dari tawanan wabak ini menambahkan lagi sebuah sinar untuk dunia yang sedang berduka.

Diibaratkan “percikan harapan” oleh Hospital IJsselland berhampiran Rotterdam di mana beliau menjalani rawatan, beliau hanya mengambil masa seminggu lebih untuk sembuh daripada wabak menakutkan itu, lapor Reuters.

Wanita yang tidak didedahkan namanya ini ditempatkan di ruang pengasingan selepas disahkan positif Covid-19 sebaik sahaja menjalani ujian saringan selepas mengadu mengalami kesukaran bernafas.

Menurut laman sesawang hospital berkenaan, kini beliau telah pulih sepenuhnya dan akan dihantar ke pusat asuhan warga emas buat sementara waktu, sebelum dihantar pulang ke rumahnya kerana dikatakan tinggal bersendirian.

Wanita cekal ini dikatakan mematuhi setiap arahan hospital seperti bersin dengan menekup hidung ke siku, malah sering juga mengingatkan para petugas hospital untuk sentiasa menjaga jarak antara mereka.

Wanita perkasa ini dikatakan mematuhi setiap arahan hospital seperti bersin dengan menekup hidung ke siku, malah sering juga mengingatkan para petugas hospital untuk sentiasa menjaga jarak antara mereka.

Menurut pakar, mereka yang berusia lebih 65 tahun mempunyai sistem imun yang lemah dan mudah terdedah kepada penyakit coronavirus.

Maka, kes yang melibatkan pesakit yang berada dalam kategori ini sembuh memberikan harapan baharu kepada dunia perubatan, lebih-lebih lagi kepada mereka yang disahkan positif Covid-19.

Selain sentiasa berdoa untuk sembuh dan redha dengan takdir, kepatuhan kepada arahan berkaitan usaha penyembuhan serta semangat diri adalah kunci utama untuk bebas dari ancaman maut akibat pandemik ini. Andalah yang berhak membantu diri sendiri.

Gambar: Petugas kesihatan Belanda menerima seorang pesakit di hospital di mana penyebaran wabak Covid-19 masih berlanjutan di Uden, Belanda. (Foto: Reuters)

Centenarian pulih dari Covid-19, wanita berusia 101 ini beri sinar baharu kepada pesakit lain

| Semasa |