Cinta Ilmu kembali atas permintaan penonton setia TV AlHijrah, bekalkan ilmu berterusan secara “menadah kitab” untuk seisi keluarga

SELAIN permintaan penonton yang sangat berharap TV AlHijrah menerbitkan semula rancangan Cinta Ilmu yang sinonim dengan stesyen ini, inisiatif membekalkan ilmu berterusan kepada mereka melalui platform televisyen juga menjadi faktor utama Cinta Ilmu kembali lagi di TV AlHijrah setiap Isnin hingga Rabu, pukul 7.30 malam bermula 4 Januari 2021 ini.

Proses menuntut ilmu itu tidak pernah selesai sehinggalah seseorang itu ke liang lahad, maka rancangan Cinta Ilmu yang membincangkan dan menjawab persoalan serta kemusykilan agama ini bukan sahaja diteruskan tepat pada masanya, tetapi juga situasi yang sedang didepani masyarakat.

Bertepatan dengan kempen Bersama TV AlHijrah Seisi Keluarga, rancangan yang diberi nafas dan wajah baharu dan sesuai ditonton bersama keluarga ini membekalkan ilmu dari bidang akidah, sirah dan ibadah.

Seisi keluarga boleh “menadah kitab” yang mungkin menjadi salah satu aktiviti seharian sebelum ini di masjid-masjid kepada aktiviti ‘menadah kitab” dari kaca televisyen pula. Apa pun jua caranya, ilmu mesti ditimba setiap hari.

Perbincangan tajuk seputar hari kiamat sentiasa mendapat sambutan kerana kesedaran dalam bidang eksatologi Islam kini semakin tinggi.

Sebelum ini, rancangan yang pernah diterbitkan pada tahun 2013 ini sangat dekat dengan jiwa penonton yang sentiasa dahagakan rancangan berbentuk keilmuan dan kerohanian. Hampir setiap episod yang ditayangkan semula mendapat sambutan dengan bukti pencapaian rating yang tinggi pada setiap bulan.

Kelainannya pada musim baharu ini, Cinta ilmu akan menampilkan barisan penceramah berlainan dari musim terdahulu, begitu juga dengan rujukan kitab yang digunakan sebagai panduan sepanjang tempoh pengajian itu.

Antara barisan ustaz yang terlibat adalah Dato’ Badli Shah Alauddin yang akan mengupas Kitab Raksasa Yakjuj Makjuj Akan Muncul Dari Perut Bumi karya Muhammad Harun Zein dan Mohd Haikal.

Perbincangan tajuk seputar hari kiamat sentiasa mendapat sambutan kerana kesedaran dalam bidang eksatologi Islam kini semakin tinggi.

Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali pula akan membincangkan tajuk Sirah berpandukan pada Kitab Kelahiran Teragung karya Ustaz Muhadir Haji Joll, manakala Ustaz Roslan Mohamed pula tampil dengan kitab Al-Mu’tamad Fiqah Imam Syafi’i karya Prof Dr Muhammad bersama Muhammad Yusof Ma dan Muhammad Harun Zain.

Program yang turut ditaja Makmur Gold yang menjalankan perniagaan emas patuh syariah ini dijangka mendapat sambutan memberangsangkan kerana topik pilihan yang sangat relevan dan malar segar dengan situasi yang sedang didepani masyarakat serta mendapat perhatian hangat di media sosial ketika ini.

Cinta Ilmu kembali atas permintaan penonton setia TV AlHijrah, bekalkan ilmu berterusan secara “menadah kitab” untuk seisi keluarga

| Agama, Semasa |