Covid-19 boleh jejas kesihatan mental penduduk dunia

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

COVID-19 wabak terbesar pada abad ke 21 ternyata bukan sahaja meragut 165, 059 nyawa daripada 2.4 juta kes di seluruh dunia malah meninggalkan kesan secara psikologi yang sangat membimbangkan.

Covid-19 mencetuskan satu ‘normal baharu’ untuk menguruskan kehidupan yang menakutkan.

Syukur di Malaysia belum ada kes kesan secara psikologi yang dilaporkan setakat ini. Malah dengan kecekapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jumlah kes baharu menurun dan yang pulih semakin bertambah.

Daripada 5,389 kes yang dikesan, sebanyak 3,197 telah pulih walaupun 89 telah meninggal dunia.

Bagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedikit sebanyak memberi tekanan kepada golongan yang berpendapatan kecil kerana pendapatan harian terjejas akibat berkurung sejak lebih sebulan lalu.

Di peringkat global, Covid-19 memberikan kesan yang menjejaskan kesihatan mental kepada berbilion orang. Di samping bergelut menguruskan kehidupan yang diasing-asingkan dalam keadaan menggelisahkan, mereka juga hidup dalam ketakutan kerana wabak ini seolah-olah tidak ada penamatnya.

Bagi mereka yang dijangkiti Covid-19, kesan secara psikologi jauh lebih besar jumlahnya berbanding kesan fizikal. Pola kehidupan berubah 180 darjah dengan aturan-aturan sosial untuk mengekang penularan yang memberi kesan yang serius pada kesihatan mental.

Kajian yang dilakukan ke atas masyarakat di United Kingdom menunjukkan sebahagian besar daripada 3,000 responden mengalami kegelisahan melampau. Mereka menjangka akan berdepan dengan masalah gangguan mental sekiranya keadaan berterusan lebih lama.

Agensi berita Reuters melaporkan, kajian yang dilakukan ke atas masyarakat di United Kingdom menunjukkan sebahagian besar daripada 3,000 responden mengalami kegelisahan melampau. Mereka menjangka akan berdepan dengan masalah gangguan mental sekiranya keadaan berterusan lebih lama.

“Peningkatan pengasingan sosial, kesunyian, kebimbangan kesihatan dan kegawatan ekonomi memberi kesan menyeluruh yang membahayakan daripada sudut psikologi masyarakat,” kata Rory O’Connor, profesor psikologi di University of Glasgow, United Kingdom kepada Reuters.

Sementara itu satu laporan yang diterbitkan oleh Lancet Psychiatry memberitahu, sebagai persiapan awal terhadap kesan secara psikologi, panel 24 pakar meminta lebih banyak dana untuk penyelidikan mengenai kesan Covid-19 terhadap kesihatan mental masyarakat.

Penyelidikan ini sangat penting untuk mengenal pasti secara lebih terperinci kesan secara psikologi untuk digunakan sekiranya keadaan yang serupa berulang pada masa depan.  Covid-19 adalah perintis kesiapsiagaan bukan sahaja kesihatan fizikal malah dari sudut psikologi.

Wabak Covid-19 yang bermula di China dengan pantas menular ke seluruh dunia menerusi pergerakan manusia yang rentas benua telah menjejaskan ekonomi lebih tiga suku negara di dunia dan berada pada tahap yang membimbangkan termasuk negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Gambar hiasan: Ahmad Iskandar Shaqiri

Covid-19 boleh jejas kesihatan mental penduduk dunia

| Semasa |