Dicerai dan ditinggalkan terkontang-kanting tanpa nafkah dan khabar berita, wanita tekad pikul tanggungjawab sara anak OKU dan jaga ibu sakit sendirian

SUAMI yang sepatutnya menjadi pelindung isteri boleh sahaja bertukar menjadi lelaki kejam bila-bila masa. Mas tidak pernah menyangka akan ditinggalkan terkontang-kanting begini selepas diceraikan, malah ditambah tanggungjawab membela dan menyara anak OKU mereka tanpa nafkah dan sebarang khabar berita.

Dahulu, dengan pendapatan RM500 sebulan daripada jualan kuih dan makanan sejuk beku, bolehlah meringankan sedikit perbelanjaan keluarga. Namun, semenjak pelaksanaan PKP akibat penularan wabak Covid-19, Mas hilang sumber pendapatan.

Nasib Mas agak baik kerana mendapat bantuan Baitulmal dan JKM, membolehkan beliau bertahan sehingga kini.

Namun keperitan hidup bertambah apabila tanpa disangka-sangka, ibu beliau, Kamariah pula jatuh sakit sejak empat bulan lepas dan memerlukan penjagaan rapi dan rawatan hemodialisis yang kerap.

Mas ketika dikunjungi Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP di kediamannya semalam. (Gambar FB Baitulmal MAIWP)

Melihat ketidakmampuan ibunya menguruskan diri, Mas tekad menjaga ibunya yang sakit walaupun dirinya sendiri tiada pekerjaan.

Alhamdulillah. Beliau dikurniakan insan-insan yang prihatin dan terus melaporkan keadaan terkini kepada pihak Baitulmal.

Pihak Skuad datang dengan membawa bantuan segera dan bertekad membantu proses tambah kadar Bantuan Kewangan Bulanan dan menguruskan permohonan Bantuan Perubatan Am untuk keluarga Mas.

Pertolongan Allah kepada Mas mengingatkan kita bahawa sesiapa yang berbuat baik dan menjaga kebajikan ibunya akan dimurahkan rezekinya. Maka malanglah mereka yang menyangka mereka akan senang dengan mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dicerai dan ditinggalkan terkontang-kanting tanpa nafkah dan khabar berita, wanita tekad pikul tanggungjawab sara anak OKU dan jaga ibu sakit sendirian

| Semasa, Tumpang Bahu |