Doa apabila melihat hilal 1 Ramadhan

PADA petang ini seluruh umat Islam mengerti bulan yang dirindu dan dinantikan itu sudah berada di ambang pintu untuk menjenguk kita.

Tugas melihat atau mencerap anak bulan (hilal) Ramadhan bagi menentukan serta menetapkan tarikh puasa tahun ini akan dilakukan di beberapa tempat yang telah ditentukan.

Sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi umat Islam menyambut kedatangan bulan ini dengan persediaan secukupnya, bagai menanti kehadiran kekasih yang sudah setahun dinanti.

Maka kerana itulah Rasulullah mengajar umatnya berdoa menyambut bulan mulia ini; dilakukan sebaik sahaja hilal kelihatan di dada langit, atau sekiranya mendengar pengumuman tentang penetapan tarikh berpuasa oleh pemerintah.

Disunatkan berdoa “Ya Allah, jadikanlah hilal (bulan) ini bagi kami dengan membawa keberkahan, keimanan, keselamatan, dan keislaman. Tuhanku dan Tuhanmu (wahai bulan) adalah Allah.” (Riwayat Imam al-Tirmidzi)

Dengan membaca doa tersebut, diharapkan agar usia kita dipanjangkan dan sihat tubuh badan untuk terus beribadat sepanjang bulan berkat ini dalam keadaan hati penuh keimananannya. Ini kerana pda bulan ini setiap hamba akan beribadat secara optimum meraih pahala berganda sebagaimana dijanjikan Allah s.w.t.

Gambar hiasan: aman.news

Doa apabila melihat hilal 1 Ramadhan

| Agama |