Dr. Usama Riaz wira sebenar, terkorban demi keselamatan nyawa orang lain

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

SEWAKTU orang lain cemas memikirkan diri sendiri dan kehidupan seterusnya dalam menghadapi situasi serangan Covid-19 di seluruh dunia, masih ada insan yang sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri membantu mereka yang sedang bertarung nyawa.

Kematian Dr. Usama Riaz, doktor muda Pakistan berusia 26 tahun yang telah bertungkus lumus merawat pesakit Covid 19 di negaranya mengingatkan kita kepada kematian Dr. Ameyo Adadevoh dalam filem 93 Days.

Watak Adadevoh, seorang doktor di sebuah hospital di Lagos, Nigeria berperang dengan wabak Ebola yang sedang melanda Lagos bersama pasukan petugas kesihatannya. Beliau terkorban setelah dijangkiti Ebola dari seorang pesakitnya yang “menipu” keadaan kesihatannya sewaktu dirawat di situ.

Riaz yang bertugas di daerah Gilgit-Baltisan (GB) meninggal Ahad lalu selepas dijangkiti virus itu dari pesakitnya. Beliau merawat pesakit Covid-19 yang kebanyakan terdiri daripada mereka yang baru pulang dari Iraq dan Iran.

“Suatu yang sangat menyedihkan bagi Jabatan Kesihatan Gilgit-Baltistan kerana kehilangan seorang yang sangat penting dalam peperangan melawan wabak ini,” luah kerajaan Gilgit-Baltistan dalam ciapan Twitternya Isnin lalu.

“Usama membuktikan dirinya wira sebenar yang sanggup berkorban demi menyelamatkan nyawa orang lain,” ulas Menteri Penerangan GB, Shams Mir sebagaimana laporan portal Deccanherrald.com.

Kematian Dr. Usama Riaz, doktor muda Pakistan berusia 26 tahun yang telah bertungkus lumus merawat pesakit Covid 19 di negaranya mengingatkan kita kepada kematian Dr. Ameyo Adadevoh dalam filem 93 Days.

Dalam pada itu, Persatuan Kesihatan Pakistan Gilgit-Baltistan (PMA G-B) pula menyalahkan pihak kerajaan kerana cuai dalam memastikan keselamatan para doktor bertugas.

“Riaz dijangkiti Covid-19 kerana kecuaian kerajaan dan jabatan kesihatan,” selar Presiden persatuan itu, Zulfiqar Ali.

Ini berikutan ada laporan menyebut Riaz terpaksa merawat pesakit Covid-19 tanpa memakai PPE kerana pada waktu itu mereka kekurangan bekalan sut pakaian perlindungan tersebut.

Pakistan yang bersempadan dengan China dan Iran mencatatkan 50 kematian dan hampir 800 yang dijangkiti.

*Gambar: DR. Usama Riaz (Buzzicati.com)

Dr. Usama Riaz wira sebenar, terkorban demi keselamatan nyawa orang lain

| Semasa |