Dr Zulkifli pimpin solat hajat mohon Allah selamatkan Malaysia dari ancaman Covid-19

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

JUMAAT ini merupakan Jumaat kedua tanpa solat Jumaat di seluruh Malaysia. Bermakna sudah dua minggu berturut-turut umat Islam di sini tidak berpeluang berkumpul di masjid-masjid menyambung silaturrahim dan memanifestasikan perpaduan setiap Jumaat sebagaimana lazimnya.

Namun begitu, ia tidak menghalang umat Islam untuk meneruskan ibadah mereka dalam keterbatasan peluang pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengambil sedikit ruang yang ada memimpin solat hajat hindari Covid-19 di Surau Rahmatan Lil Alamin di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Lumpur.

Walaupun solat hajat yang dilakukan selepas solat Zohor itu hanya disertai enam jemaah bagi mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan, namun ia cukup mewakili seluruh umat Islam di tanah air.

Umat Islam pada waktu itu juga turut sama-sama mendirikan solat hajat di rumah masing-masing – tujuan yang satu, hanya tempat yang berbeza.

Dalam apa pun jua keadaan, umat Islam harus sentiasa meminta kepada-Nya dalam menyelesaikan kemelut dalam kehidupan. Solat hajat ini adalah satu usaha yang dilakukan sebagaimana saranan agama, mohon kepada Tuhanmu dengan solat dan sabar.

Menurut Dr Zulkifli, solat hajat itu dilakukan bagi memohon doa kepada Allah s.w.t. supaya dihindari daripada jangkitan Covid-19 yang melanda negara ketika ini dan menjadikan negara kita penuh kemakmuran.

Sebelumnya, seluruh umat Islam di Malaysia disarankan untuk menyahut titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara, hari ini.

Dalam apa pun jua keadaan, umat Islam harus sentiasa meminta kepada-Nya dalam menyelesaikan kemelut dalam kehidupan. Solat hajat ini adalah satu usaha yang dilakukan sebagaimana saranan agama, mohon kepada Tuhanmu dengan solat dan sabar.

Keterangan gambar: Dr Zulkifli sedang membaca doa untuk kesejahteraan dan keamanan Malaysia selesai solat hajat petang tadi.

Dr Zulkifli pimpin solat hajat mohon Allah selamatkan Malaysia dari ancaman Covid-19

| Semasa |