Elak terpedaya sewaktu beli kerusi keselamatan kereta kanak-kanak

PERKIRAAN kos dan jenis kerusi keselamatan kereta kanak-kanak tentunya berlegar-legar di minda ibu bapa sebaik sahaja menerima berita kerajaan akan mewajibkan penggunaan kerusi tersebut pada tahun depan.

Mungkin ada sebilangan dari mereka mula membuat tinjauan di pusat beli belah mahupun secara atas talian untuk mencari kerusi yang paling sesuai. Namun apa yang penting, ibu bapa perlu tahu bahawa hanya Child Restraint System (CRS) yang mempunyai piawaian keselamatan EN ECE R44/04 dan R129 dibenarkan digunakan di Malaysia.

Ini berikutan piawaian itu yang ditetapkan Peraturan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNR) sebagai langkah keselamatan kanak-kanak yang mempunyai ketinggian kurang 135 sentimeter.

Selain itu, setiap produk CRS juga akan mempunyai pelekat E-Mark berwarna jingga yang tertera maklumat seperti kategori produk mengikut berat atau tinggi dan nombor kelulusan, di samping mempunyai pelekat label QR sah daripada MIROS yang merekodkan maklumat spesifikasi teknikal CRS mengikut piawaian.

Dalam keterujaan memilih kerusi ini juga, ibu bapa juga diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan CRS yang murah, kerana ada juga jenama pengeluar yang tidak lulus piawaian tetapi melekatkan label tidak sahih dijual di pasaran.

Kriteria ini dijelaskan oleh Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Nurulhana Borhan sebagaimana laporan Bernama.

Dalam keterujaan memilih kerusi ini juga, ibu bapa juga diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan CRS yang murah, kerana ada juga jenama pengeluar yang tidak lulus piawaian tetapi melekatkan label tidak sahih dijual di pasaran.

CRS yang lulus piawaian dan ujian keselamatan tidak semestinya mahal, malah ada yang dijual pada serendah RM150 ke RM300.

Untuk memilih kerusi yang menepati kriteria MIROS ini, ibu bapa boleh merujuk Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak di Malaysia oleh MIROS yang boleh dimuat turun dari laman web rasmi MIROS atau Facebook MIROS.

* Gambar sekadar hiasan
(Sumber gambar: happiestbaby.com)

Elak terpedaya sewaktu beli kerusi keselamatan kereta kanak-kanak

| Keluarga, Semasa |