Fahami Covid-19, urus ketakutan untuk melawannya – Dr. Noor Hisham

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

“NOTHING in life is to be feared, it is only to be understood. Now is the time to understand more, so that we may fear less (Tiada apa pun dalam kehidupan yang perlu ditakuti, tetapi ia hanya perlu untuk difahami. Sekarang adalah masa untuk menjadi lebih faham, supaya ketakutan itu dapat dikurangkan).”

Petikan kata-kata Marie Curie ini dimuat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah ke dalam laman Twitternya awal pagi ini.

Marie Curie adalah seorang ahli fizik dan kimia Perancis kelahiran Poland yang terkenal di sebabkan hasil kerja beliau dalam bidang radioaktif dan merupakan profesor wanita pertama di Universiti Paris.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab secara langsung dalam bidang kesihatan di negara ini, Dr. Noor Hisham kini adalah “rujukan dan harapan” warga Malaysia yang sedang berdepan dengan “peperangan” melawan Covid-19 yang semakin mengganas hari demi hari.

Sepatah kata beliau adalah harapan kepada mereka yang sedang panik diserang pandemik yang sangat mengancam nyawa ini. Justeru itu, perangsang yang dititipkan melalui ciapan Twitternya mampu menyuntik sedikit rasa tenang dalam hati masyarakat.

Beliau sebagai nakhoda bahtera yang sedang diuji gelora menyedari ilmu, kebijaksanaan dan pengalaman beliau adalah harapan semua.

Ramai pula yang enggan merujuk ke hospital walaupun terdapat simptom terjangkiti Covid-19 ini kerana kurangnya kesedaran tentang bahayanya penyakit menular. Ada pula yang berpegang kepada prinsip hidup yang hakikatnya bukannya datang dari ajaran agama.

Beliau menyarankan supaya masyarakat melawan ketakutan itu dengan bijaksana, iaitu dengan cara mengurus ketakutan itu sendiri. Manusia dalam keadaan panik akan bertindak melulu dan mungkin menambahkan lagi akibat buruk.

Apa tidaknya, sejak wabak ini menular ke dalam negara, terdapat segelintir warga net yang kurang bertanggungjawab menularkan pelbagai andaian tentang wabak ini tanpa fakta dan pengetahuan.

Ramai pula yang enggan merujuk ke hospital walaupun terdapat simptom terjangkiti Covid-19 ini kerana kurangnya kesedaran tentang bahayanya penyakit menular. Ada pula yang berpegang kepada prinsip hidup yang hakikatnya bukannya datang dari ajaran agama.

Tanggungjawab Dr. Noor Hisham dan pihak-pihak yang sedang berjuang menangani masalah dunia ini bukannya perkara mudah. Mencari jalan membanteras wabak dari terus meratah warganegara dan memulihkan kesihatan mereka yang menjadi mangsa, pada masa yang sama terpaksa menyedarkan masyarakat tentang wabak ini menuntut wibawa pihak terlibat.

Covid-19 bukanlah untuk ditakuti secara melulu, tetapi ia perlu dihadapi dengan ilmu dan pengetahuan. Penyakit sebegini telah lama disebut dalam al-Quran, maka dengan mengkaji mukjizat kurniaan Ilahi, sifat dan cara mengurus masalah ini akan menjadi lebih mudah.

Keterangan gambar: Ciapan dari laman Twitter Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

Fahami Covid-19, urus ketakutan untuk melawannya – Dr. Noor Hisham

| Semasa |