Fenomena Muath Amarneh cetus perpaduan sejagat

“MATA kebenaran tidak dapat dibutakan.” Kata-kata ini tular di media sosial di Gaza dan Tebing Barat bermula Jumaat lalu, juga tertera di plakad dan sepanduk sewaktu protes menentang kekejaman tentera Israel terhadap dunia kewartawanan.

Secara khususnya, ia sebagai reaksi berkait kebiadaban yang dilakukan tentera Israel terhadap Muáth Amarneh, pengamal media Palestin yang buta sebelah mata akibat ditembak tentera Israel ketika serangan terhadap penunjuk perasaan Palestin di Tebing Barat.

Ramai wartawan terkemuka dan aktivis Palestin memuat gambar mereka sendiri dengan satu mata yang dilindungi sebagai menyatakan sokongan terhadap kempen atas talian yang dilancarkan menggunakan tanda pagar seperti “MuathEye”, “EyeofTruth” dan “MuathAmarneh”.

Kempen ini menggalakkan orang ramai untuk melakukan perkara yang sama untuk meningkatkan kesedaran tentang pelanggaran Israel terhadap kebebasan akhbar, terutama ketika menentang protes anti-pendudukan.

Menurut laporan agensi berita Wafa, Mu’ath Amarneh hilang penglihatan pada mata kirinya selepas mengalami kecederaan parah akibat peluru logam bersalut getah yang dilepaskan tentera Zionis di bandar Surif, Hebron Jumaat lalu.

Kejadian berlaku ketika Amarneh sedang membuat liputan tentang protes berkaitan penyitaan tanah oleh pihak berkuasa Israel yang memihak kepada pembinaan penempatan.

Kempen ini menggalakkan orang ramai untuk melakukan perkara yang sama untuk meningkatkan kesedaran tentang pelanggaran Israel terhadap kebebasan akhbar, terutama ketika menentang protes anti-pendudukan.

Amarneh yang ditembak di bahagian mata dikejarkan ke hospital di Hebron untuk menerima rawatan kecemasan namun doktor gagal menyelamatkan penglihatannya.

“Tiba-tiba saya rasa ada sesuatu memukul mata saya, saya sangka ia peluru getah atau seketul batu. Saya letak tangan saya ke mata tetapi tiada sebarang benda pun, selepas itu penglihatan saya hilang sepenuhnya,” jelas Amarneh sebagaimana laporan Middle East Monitor.

Dalam kenyataan berasingan, Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dan sekutu Palestinnya, Sindiket Wartawan Palestin (PJS) mengutuk sekeras-kerasnya serangan “sengaja” tersebut kerana pada waktu kejadian, Amarneh sedang bertugas dengan memakai baju kalis peluru dengan tag nama media.

Sekurang-kurangnya 60 wartawan telah disasarkan dengan peluru hidup oleh tentera Israel setakat tahun ini, 43 yang lain telah cedera oleh bom bunyi, 170 dipukul atau dilarang daripada menjalankan tugas, manakala sepuluh orang telah ditangkap dan 18 wartawan ditahan di penjara Israel.

Keterangan gambar: Seorang pekerja di sebuah syarikat penyiaran menyiarkan gambarnya yang menutup sebelah mata sebagai tanda sokongan terhadap Muath Amarneh dalam laman Facebooknya. FOTO FB: ROZAIS AL-ANAMY

Fenomena Muath Amarneh cetus perpaduan sejagat

| Semasa |