Gandingan lirik dan lagu berkualiti mampu sentak nurani insan kembali pada Tuhan dan kenal jalan pulang

Kita datang ini / Hanya sebagai tetamu senja /Bila cukup detik /Kembali kita kepada-Nya

Kita datang ini / Kosong tangan, kosong dada / Bila pulang nanti / Bawa dosa, bawa pahala

Pada tetamu yang datang / Dan kenal jalan pulang / Bawalah bakti mesra /Kepada Tuhan, kepada insan.

PETIKAN sajak Sasterawan Negara A Samad Said yang digubah menjadi lagu oleh SISO Kopratasa tepat menggambarkan usaha berdakwah melalui lagu. Lirik yang penuh makna tentang perjalanan insan, tugas dan matlamat hamba dicipta digarap dalam bait-bait indah, boleh menyentak hati seni manusia yang mungkin alpa amanah di dunia.

Gandingan lirik dan lagu sebegini bukan sahaja enak pada pendengaran, malah menusuk ke sanubari tanpa sejumlah kata dakwah yang didaktik. Nasihat dan pedoman mengalir secara halus melalui pemilihan diksi yang ringkas dan padat yang dialun dalam lagu yang mendayu dan mengasyikkan.

Lagu Tetamu Senja ini contoh gandingan mantap lirik dan lagu yang indah. Terdapat juga keindahan lagu dicemari lirik yang polos tanpa makna, bahkan banyak pula tidak berkualiti langsung.

Lirik dan lagu yang digubah pencipta yang faham keberadaannya di bumi Allah mampu menjaring lebih ramai umat khususnya pemuda-pemudi mengenal dan kembali kepada Tuhan.

Lirik dan lagu yang digubah pencipta yang faham keberadaannya di bumi Allah mampu menjaring lebih ramai umat khususnya pemuda-pemudi mengenal dan kembali kepada Tuhan.

Istilah popular bukan hanya terhad kepada lirik dan lagu yang hanya mementingkan hiburan semata-mata, malah setiap lagu berhak popular sekiranya ia berjaya menyentuh jiwa pendengar. Penyanyi Madonna pernah mencedok syair Rumi sebagai lirik dalam lagunya.

Sebagaimana para doktor dan saintis yang mendapat hidayah kembali pada Allah atas kajian mereka, ramai penghibur dalam dan luar negara berhijrah ke agama fitrah setelah lama hanyut dalam kehidupan seni berbentuk hedonisme. Ada sesuatu yang menyentuh hati mereka sepanjang perjalanan, hidup yang warni warni akhirnya kembali kepada dua warna utama; perjuangan antara hitam dan putih.

Usaha dakwah itu pelbagai lorongnya, yang pasti jalan di depan tembus kepada cahaya yang terang. Masa silam dipalit kelam dan suram boleh diputihkan dengan sebuah penghijrahan. Lirik dan lagu yang dihijrahkan mampu menggetarkan kalbu yang kosong dambakan ketenangan.

Nantikan lagu kisah perjalanan hitam putih mereka di TV AlHijrah November ini!

Gandingan lirik dan lagu berkualiti mampu sentak nurani insan kembali pada Tuhan dan kenal jalan pulang

| Advertorial, Semasa |