Gelisah di rumah sendiri

TOLONG jangan salah faham apa yang saya cerita ini. Bukanlah niat saya mahu mengungkit atau berkira dengan adik ipar sendiri. Saya tahu, mengungkit atas kebaikan akan hanya melenyapkan pahala, apatah lagi yang terlibat itu adik kepada suami saya sendiri. Kata orang, kita kahwin, bukan hanya kahwin dengan suami kita sahaja, tetapi dengan keluarganya sekali. Betullah.

Tetapi saya buka cerita ini sebab saya mahu kongsi dengan rakan pembaca, manalah tahu ada yang sedang alami apa yang sedang saya rasa ini. Kalau mahu nasihat saya supaya bersabar, memang saya sudah cukup bersabar selama ini. Saya bukan jenis manusia yang suka mengeluh, mengomel atau mendengus tidak tentu fasal, tetapi sekarang ini jiwa saya sudah hampir meletup memikirkan kesudahan hidup saya.

Segalanya bermula apabila adik ipar saya, Zakwan (bukan nama sebenar) datang berziarah ke apartmen kami. Pada mulanya hanya untuk menjenguk kami, katanya. Tambahnya lagi, ibunya minta dia jenguk kami, maklumlah dulu dia sibuk belajar sehingga tidak sempat berziarah abang sulungnya yang sama-sama tinggal di Lembah Klang. Kali ini dia mahu ‘qadak’ hubungan yang renggang suatu ketika dahulu dengan berlama-lamaan sedikit di rumah kami.

Zakwan adalah graduan yang sudah setahun menganggur dan tinggal dengan mentua saya di kampung sebelum ini. Jadi sepenuh masa Zakwan berada di rumah kami, hanya sesekali keluar ‘ambil angin’. Waktu bekerja, tidak kisah sangatlah. Tetapi apabila hari minggu atau waktu saya balik kerja, saya pun mahu juga ruang privasi saya sendiri, mahu baring-baring di ruang televisyen, memasak dengan selesa dan sebagainya. Ini tidak, saya terpaksa pakai tudung sepanjang masa Zakwan ada.

Suami saya faham keresahan saya, tapi kerana hormatkan ibunya, dia segan untuk memberitahu Zakwan supaya berpindah kerana ibunya sendiri lebih suka Zakwan tinggal dengan kami. Ada masanya suami saya terpaksa kerja lebih masa, maka tinggallah kami berdua di rumah. Saya terpaksa berkurung di dalam bilik untuk mengelakkan fitnah, atau berada di luar rumah buat apa yang patut.

Seminggu saya boleh tahan lagi. Tapi sehingga kini sudah hampir setahun Zakwan di rumah kami. Walaupun sudah bekerja di sebuah pasaraya dan mampu menyewa bilik di tempat lain, Zakwan nampaknya selesa di rumah kami.

Suami saya faham keresahan saya, tapi kerana hormatkan ibunya, dia segan untuk memberitahu Zakwan supaya berpindah kerana ibunya sendiri lebih suka Zakwan tinggal dengan kami. Ada masanya suami saya terpaksa kerja lebih masa, maka tinggallah kami berdua di rumah. Saya terpaksa berkurung di dalam bilik untuk mengelakkan fitnah, atau berada di luar rumah buat apa yang patut.

Satu hal lagi yang menambah rasa berontak saya ialah Zakwan tidak pandai mengambil hati kami. Tidak pernah pun dia menghulur seringgit dua untuk menampung perbelanjaan di rumah kami. Masa tidak bekerja, saya pun faham. Tapi sekarang walau sudah pendapatan sendiri, Zakwan buat tidak peduli saja. Saya belum tergamak lagilah untuk masak untuk kami suami isteri sahaja. Setiap kali waktu makan, saya akan panggil dia sekali.

Saya harap dia fahamlah lama-kelamaan. Rupanya tidak. Dia buat selamba sahaja, malah ucap terima kasih pun tidak. Walhal suami saya sendiri sentiasa ucap terima kasih pada saya depan Zakwan untuk tunjuk contoh, tapi dia hanya tersengih-sengih sahaja setiap kali abangnya berbuat demikian.

Saya buntu apa yang sepatutnya saya lakukan. Saya harap dengan luahan saya di sini (sekiranya terpilih), saya dapat cadangan dan komen dari rakan-rakan netizen semua. Saya bimbang jika tidak diluahkan, suatu hari nanti ia meletup dan saya akan bertindak di luar batasan. Terima kasih Admin.

Gelisah di rumah sendiri

| Tumpang Bahu |