Gli, kucing penunggu Hagia Sofia serta kucing lain terus dibenarkan diami masjid itu

APA KHABAR dengan Gli, kucing penunggu Hagia Sofia kini?

Selepas Hagia Sofia diumumkan pembukaannya sebagai masjid semula, ramai peminat kucing tersohor ini tertanya-tanya keadaannya, adakah ia terus kekal berada di situ atau sebaliknya.

Ramai yang rindukan Gli, kucing berwarna kelabu dan bermata hijau dari Sofia Hagia yang menjadi penghibur kepada para pengunjung di monumen itu.

Memiliki lebih 48,000 pengikut di Instagram, Gli cukup disayangi para pengunjung dan gambarnya termuat dalam simpanan memori kamera mereka, bahkan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama juga pernah merakam imej Gli sewaktu beliau mengadakan lawatan pada tahun 2009.

Menurut laporan Reuters, pihak berkuasa negara itu menyatakan Hagia Sophia akan terus menjadi ‘kediaman’ Gli.

Jurucakap kepada Presiden Turki, Ibrahim Kalin pula memberitahu Gli dan kucing-kucing lain di kawasan itu dibenarkan terus berada di situ.

Kenyataan itu juga disambut penuh kegembiraan oleh Umut Bahceci, pemandu pelancong yang mengambil inisiatif membuka akaun Instagram Gli empat tahun lalu.

Akaun tersebut dipenuhi dengan gambar-gambar Gli selain beberapa pengunjung Hagia Sophia yang turut membelainya.

“Saya mula memerhatikan Gli ketika melihat kucing ini beraksi seperti model,” kata Bahceci sewaktu menggambarkan keistimewaan Gli sehingga beliau membuat keputusan mewujudkan akaun Instagram untuknya.

Menurutnya lagi, beliau juga mendapat mesej menyatakan mereka akan datang lagi menjenguk Gli apabila mereka datang ke Istanbul.

Kenyataan terbaharu tentang Gli ini sedikit sebanyak mengubat kerisauan para peminat Gli dari merata dunia.

Gambar: Gli mempunyai 48,000 pengikut di Instagram dan menjadi sasaran bidikan kamera para pengunjung Hagia Sofia. (Reuters)

Gli, kucing penunggu Hagia Sofia serta kucing lain terus dibenarkan diami masjid itu

| Semasa |