Goncang bayi usia lima minggu kerana marah, seorang ayah tidak sangka terpisah dengan anak selama-lamanya

DALAM keadaan setiap orang terbelenggu hidup dengan serangan Covid-19 yang semakin menakutkan, ketenteraman dalam keluarga sedikit sebanyak membantu meredakan kelesuan dan keletihan setelah seharian bekerja. Namun bagaimana perasaan anda sekiranya bayi asyik meraung sewaktu anda mahu berehat atau sedang menikmati makan malam mahupun sedang tidur nyenyak?

Bagi sesetengah ibu bapa, tangisan bayi tanpa henti adalah perkara biasa. Namun bagi yang kurang sabar, pelbagai tindakan diambil untuk mendiamkan bayi tersebut. Antara yang sering dilakukan ialah menggoncang bayi supaya berhenti menangis.

Sebenarnya tindakan sedemikian sangatlah tidak patut kerana pernah berlaku kes di mana seorang ayah menggoncang bayinya yang baru berusia lima minggu sehingga menyebabkan bayi tersebut sawan dan tidak sedarkan diri.

Setelah dikejarkan ke hospital, didapati bayi malang itu disahkan mengalami pendarahan pada otak (intracranial bleed), kecederaan pada tulang belakang dan kecederaan pada mata (Shaken Baby Syndrome).

Fizikal bayi yang masih lemah di bahagian leher sangat bahaya sekiranya digoncang kuat dan berulang kali. (Gambar hiasan)

Namun bukan semua kes menggoncang bayi berlaku disebabkan ibu bapa hilang sabar sahaja, kerana terdapat juga kes ahli keluarga yang terlalu teruja dengan kecomelan bayi sehingga mengagah sambil menggoncangkan badan bayi secara tidak sengaja.

Menurut Dr. Ahmad Luqman Bukhari, pegawai perubatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban dalam laman Facebooknya, perbuatan menggoncang bayi boleh mengundang bahaya kepada bayi kerana otot leher bayi masih belum kuat dan tidak mampu menyokong kepalanya yang berat.

Apabila badan bayi digoncang dengan kuat berulang kali, otaknya yang masih lembut akan bergerak ke depan dan ke belakang tengkorak kepala; menyebabkan salur darah membengkak, pecah dan darah terkumpul dalam otak.

Mengikut kajian tentang bayi yang digoncang, dilaporkan 15 hingga 30 peratus bayi yang mengalami keadaan ini meninggal dunia dan cuma 10 peratus sahaja yang sembuh tanpa mengalami kecacatan otak.

Mengikut kajian tentang bayi yang digoncang, dilaporkan 15 hingga 30 peratus bayi yang mengalami keadaan ini meninggal dunia dan cuma 10 peratus sahaja yang sembuh tanpa mengalami kecacatan otak.

Justeru itu, bagi menangani emosi yang tidak terkawal sewaktu berdepan keadaan bayi menangis, beberapa tindakan berikut boleh diamalkan untuk mengelak ibu bapa dari menggoncang bayi. Antaranya ialah meletakkan bayi di tempat selamat seperti atas katil bayi dan tinggalkan sebentar untuk tenangkan dulu fikiran.

Selain itu dapatkan bantuan dari orang lain sama ada ahli keluarga atau rakan-rakan untuk membantu buat sementara waktu. Boleh juga ke fasiliti kesihatan untuk dapatkan nasihat selanjutnya.

Jangan hanya kerana gagal mengawal emosi sebentar, anda kehilangan zuriat buat selama-lamanya.

Gambar hiasan: Letakkan bayi di katilnya sebentar bagi menenangkan perasaan untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara di luar jangkaan apabila bayi menangis.

Goncang bayi usia lima minggu kerana marah, seorang ayah tidak sangka terpisah dengan anak selama-lamanya

| Keluarga, Semasa |