Guna pakai semua wadah untuk seru kebaikan, FBI tidak tunggu jadi alim dahulu baru mahu berdakwah

OLEH TUAN NORA TUAN MOHAMED

BERHIJRAH peribadi bukan sahaja menuntut kekuatan iman dan kecekalan hati, emosi juga perlu diuruskan dengan sebaik mungkin kerana dugaannya yang bakal dihadapi semakin besar. Kemudi niat perlu dibetulkan sentiasa selari dengan tuntutan agama dan matlamat hijrah itu sendiri.

Diuji penyakit ‘anxiety’ dan tidak dapat melelapkan mata semasa dunia dilanda Covid-19 membuatkan Faizal Ismail (FBI), pengacara utama rancangan realiti hiburan bernada islamik, Hijrahkan Laguku banyak muhasabah dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.

Ruang masa selama tujuh bulan digunakan sepenuhnya untuk menyertai sekumpulan jemaah dakwah bagi mendekatkan diri kepada Allah dan merawat derita jiwa akibat penyakit tak terkesan mata itu.

Bertitik tolak dari pengalaman itu, beliau nekad meneruskan usaha berdakwah dalam setiap ruang masa dan peluang yang ada. Ini sekaligus memberi kesempatan kepada beliau kekal dalam suasana ‘ingat Allah’ dan tidak mudah hanyut dengan pesona dunia.

Faizal Ismail memanfaatkan pelbagai medium dan bakat sebagai deejay untuk terus berdakwah selepas berhijrah.

Insan terdekat yang menjadi pendorong utama dalam menjayakan sebuah hijrah adalah anugerah tak ternilai bagi seseorang. Isteri yang setia bersama FBI saat susah senang ternyata gembira dengan pilihan hidup beliau, turut memberi kesan positif kepada keluarga mereka.

Seiring dengan azam untuk berada dalam suasana agama, kepetahan berbicara FBI sebagai deejay terus dimanfaatkan untuk menyebarkan dakwah di Radio IKIM dengan harapan setiap patah perkataan baik yang sampai ke telinga masyarakat menjadi saham Akhirat.

Bagi FBI, lakukanlah setiap perkara yang diminati asalkan tidak lari dari landasan agama dan niatkan semuanya kerana Allah dan bukan untuk mendapatkan imbuhan harta dan populariti, bersifat keduniaan semata-mata.

“Belajar berdakwah dengan apa cara sekalipun sehingga kita menjadi alim. Jangan tunggu jadi alim baru nak dakwah,’ pesan beliau.

Gambar: FBI pernah menyertai jemaah dakwah yang banyak membentuk peribadinya ke arah kebaikan dan memperbaharui matlamat hidup selari tuntutan agama.

Guna pakai semua wadah untuk seru kebaikan, FBI tidak tunggu jadi alim dahulu baru mahu berdakwah

| Advertorial, Semasa |