Guru hias pekarangan rumah dengan kibaran bendera, pilih tema perjuangan lawan Covid-19 pada tahun ini

OLEH ROKIAH ISMAIL

BENDERA atau panji adalah sepotong kain berlogo sebagai simbol sesebuah negara atau perjuangan. Pada zaman Mesir purba, bendera juga digunakan untuk menyelaras tentera di medan perang. Begitu juga pada zaman Rasulullah s.aw, panji adalah lambang perjuangan yang membangkitkan semangat keimanan dan pengorbanan.

Dalam keadaan aman damai, bendera adalah simbol keharmonian dan kesejahteraan negara; mempunyai nilai kedaulatan dan lambang maruah dan jati diri warganya.

Tidak hairanlah bagi mereka yang sangat tinggi nilai patriotiknya, nyawa sanggup digadai untuk menjaga maruah bendera ini. Ia dibuktikan para pejuang negara terdahulu. Ini kerana bagi mereka manusia tanpa maruah umpama tubuh tanpa nyawa.

Menyedari betapa besarnya pengorbanan nenek moyang dahulu sewaktu berjuang sehingga tanah air mencapai kemerdekaan, seorang guru di Balik Pulau, Normala Md Desa, 57, bertindak menghias pekarangan rumahnya di Kampung Perlis dengan Jalur Gemilang.

“Saya rasa puas bila tengok bendera Malaysia berkibar ditiup angin, sangat cantik pemandangan pada waktu itu dan di situ lahirnya rasa semangat jati diri kepada negara Malaysia tercinta,” katanya sebagaimana laporan Bernama semalam.

Beliau dan anaknya akan bertungkus-lumus menghias rumah mereka menjelang sambutan Hari Kebangsaan saban tahun, tidak terkecuali pada tahun ini. Namun pada tahun ini beliau mengangkat kisah perjuangan melawan Covid-19 sebagai tema sambutan.

Beliau dan anaknya akan bertungkus-lumus menghias rumah mereka menjelang sambutan Hari Kebangsaan saban tahun, tidak terkecuali pada tahun ini. Namun pada tahun ini beliau mengangkat kisah perjuangan melawan Covid-19 sebagai tema sambutan.

Normala mereka cipta replika Covid-19 dengan menggunakan 14 batang aloi, selain memaparkan poster bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dijalani sejak fasa pertama hinggalah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Jika dahulu zaman moyang, datuk, nenek kita berjuang melawan penjajah hingga berjaya mendapatkan tanah Melayu, hari ini kita berjuang pula melawan penyakit yang membunuh secara senyap. Berjuang untuk satu perkara yang kita tidak dapat lihat, ini lebih hebat,” katanya.

Normala yang turut dibantu oleh anak perempuannya yang mewarisi minatnya, Nurul Nadiah Tajuddin, 24, berkata, semangat kecintaan terhadap negara perlu disemai dan ada pada setiap insan.

“Pasanglah walau satu bendera di rumah dan dari sekeping bendera itu hayatilah pengorbanan dan bukan senang untuk kita memperoleh kemerdekaan.

“Untuk anak murid saya di tabika selalu saya terapkan perkara ini, macam budak-budak tidak faham apa maksud kemerdekaan, dari sini kita mula ajar,” katanya.

Beliau juga turut memasang bendera dan menghias tabika bersama-sama anak-anak muridnya.

Gambar: Nurul Nadiah membantu ibunya memasang Jalur Gemilang di pekarangan rumahnya di Kampung Perlis, Balik Pulau semalam. (Bernama)

Guru hias pekarangan rumah dengan kibaran bendera, pilih tema perjuangan lawan Covid-19 pada tahun ini

| Semasa |