Hadapi Covid-19 dengan pendekatan agama, TV AlHijrah yakin Haflah mampu suntik vaksin jiwa tenang dan jemput kasih sayang Ilahi

BERIKUTAN serangan pandemik Covid-19 masih belum berpenghujung, ramai warga maya memberi komen dalam laman media sosial mahupun melalui emel menyatakan harapan mereka agar TV AlHijrah menjadi pelopor dalam merangka program pengisian berbentuk keagamaan; dengan doa supaya Allah membantu hamba-Nya yang sedang kegusaran.

Bagi mereka, sebaik-baik jalan penyelesaian sesuatu masalah tidak dapat lari dari kembali kepada ajaran agama dan penyerahan serta keyakinan kepada bantuan Allah dengan pengabdian hamba.

Menghargai kepercayaan penonton setia tersebut, TV AlHijrah mengangkat bidang seni suara tarannum melalui sebuah program baharu berjudul “Haflah” yang akan disiarkan setiap Sabtu bermula esok, 5 Disember 2020, pukul 7.30 malam.

Program yang memartabatkan pembacaan Al-Quran secara bertarannum ini diharapkan dapat menguatkan jiwa penonton menghadapi kemelut Covid-19 yang sangat memerlukan hati yang tenang dan pertalian yang erat dengan ayat-ayat Allah.

Program yang memartabatkan pembacaan Al-Quran secara bertarannum ini diharapkan dapat menguatkan jiwa penonton menghadapi kemelut Covid-19 yang sangat memerlukan hati yang tenang dan pertalian yang erat dengan ayat-ayat Allah.

Haflah yang bermaksud pesta, perayaan atau ‘konsert’ bagi meraikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran ini lazimnya diadakan di masjid dan surau.

Namun kebiasaan ini sudah semestinya perlu diubah suai caranya dengan situasi semasa, asalkan matlamatnya tercapai. Dengan itu TV AlHijrah memindahkan kemeriahan suasana majlis haflah ke kaca TV pula.

Penonton stesen televisyen ini bolehlah menghayati alunan ayat-ayat suci Al-Quran di rumah mereka selepas waktu Maghrib sambil menunggu tibanya Isyak.

Mereka juga boleh merebut peluang dipimpin para qari berpengalaman menerusi pelbagai ilmu seperti cara bacaan yang betul dan mengenali variasi tarannum yang pelbagai. Antaranya ialah maqam seni tarannum sepert Bayati, Nahawand, Rast, Sikah, Hijaz dan Jiharkah.

Barisan Qari Kebangsaan dan Antarabangsa antaranya Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Dr. Anuar Hasin, Ustaz Wan Ainuddin, Ustaz Radzi Kamarul Hailan dan ramai lagi akan bersama-sama penonton mengisi ruang waktu ini membicarakan ayat-ayat suci.

TV AlHijrah optimis, program Haflah ini mampu menyuntik semangat yang lebih ampuh dalam diri penonton supaya terus berani dan bijaksana mendepani wabak ini, kerana Al-Quran itu sebaik-baik syifa’ kepada orang yang beriman.

Hadapi Covid-19 dengan pendekatan agama, TV AlHijrah yakin Haflah mampu suntik vaksin jiwa tenang dan jemput kasih sayang Ilahi

| Semasa |