Hantarkan cahaya ke hujung dunia

(Perkembangan terkini pembinaan Surau Al-Falah di Kampung Sosondoton)

“JALAN ke Kampung Sosondoton bukan sahaja berliku dan jauh di pedalaman tetapi lebih menyedihkan kami apabila hanya kelihatan beberapa rumah ibadat agama bukan Islam di sepanjang permusafiran kami ini. Alangkah pelik, tiada masjid atau surau di sepanjang jalan ini sedangkan terdapat sejumlah umat Islam di sini”- petugas Yayasan Ikhlas.

Salah satu projek berimpak tinggi yang difokuskan oleh Yayasan Ikhlas pada tahun ini adalah Projek Demi Surauku di mana Yayasan Ikhlas berhasrat membina dan membaik pulih surau dan masjid di beberapa lokasi strategik. Melalui projek ini sebuah surau sedang dibina di Kampung Sosondoton, Ranau, Sabah demi kemudahan penduduk di sini untuk mengerjakan ibadah secara berjemaah dengan selesa.

Surau Al-Falah, Ranau bukan sahaja untuk kegunaan umat Islam daripada 12 buah kampung, ia juga akan digunakan oleh pelajar-pelajar tahfiz daripada kalangan anak-anak mualaf di kawasan sekitar pedalaman Ranau. Mereka adalah pelajar Maahad Tahfiz Miftahul Ulum As-Sobirin, Ranau, Sabah yang sedang mempelajari Al-Quran, Pengajian Islam dan bakal
menjadi pewaris kepimpinan pada masa hadapan.

Lebih menarik, apabila pelajar-pelajar ini turut didedahkan dengan kemahiran kelangsungan hidup (survival skill) seperti bercucuk tanam dan penternakan.

Yayasan Ikhlas dan Majlis Dakwah Negara (MDN) Cawangan Sabah bekerjasama bersama kontraktor, Pejabat Daerah dan Tanah Ranau, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan agensi berwajib yang lain demi memastikan impian membina sebuah ‘one-stop- centre’ untuk umat Islam tercapai.

Datuk Ustaz Bungsu (empat dari kiri) sedang melihat pembentangan projek dari salah seorang petugas Yayasan Ikhlas.

Surau ini bukan sahaja menjadi tempat solat berjemaah, bahkan ia turut menjadi pusat ibu-ibu dan orang dewasa mempelajari Al-Quran serta mengamalkan Islam, turut menjadi pusat rujukan bahkan sebuah pusat yang mengangkat syiar Islam.

Baru-baru ini, Pengerusi Yayasan Ikhlas Profesor Dr Zainur Rashid dan Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar telah berkunjung ke tapak pembinaan Surau Al-Falah bagi melihat sendiri projek pembinaan yang sedang giat dijalankan. Semasa tinjauan dibuat, mereka turut menyaksikan kerja-kerja konkrit yang sedang dilaksanakan. Difahamkan, setelah selesai, proses pemasangan pada tingkap dan dinding pula akan dilakukan.

Fasa pertama pembinaan Surau Al-Falah ini bakal mengambil masa selama tiga (3) bulan dan bakal siap pada penghujung bulan September ini. Jauh di Semenanjung, seorang wanita dermawan yang berasal dari Pulau Pinang telah menyatakan hasrat untuk mendanai pembinaan surau ini melalui Yayasan Ikhlas. Dengan hasrat beliau yang murni ini, surau ini bakal mengumandangkan azan dan takbir buat kali pertama di sini.

Kampung Sosondoton, Ranau terletak di kawasan berbukit dan jauh di pedalaman, sekitar 120 km dari Kota Kinabalu, Sabah. Pemandangan kampung ini yang jauh dari hiruk pikuk bandar sangat mengasyikkan, indah dan permai. Perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan yang agak berliku mengambil masa sekitar dua jam setengah.

Selain itu, kerjasama Yayasan Ikhlas bersama Jabatan Mufti Negeri Sabah juga melibatkan beberapa buah projek Yayasan Ikhlas di Borneo antaranya projek pendidikan Al-Huda, pembinaan Sekolah Agama Rakyat, Bina dan Baik Pulih Surau dan Masjid, Projek Air Bersih.

Yayasan Ikhlas ingin mengajak seluruh masyarakat Malaysia turut serta menyumbang demi membantu masyarakat mualaf dan asnaf mendapat sebuah surau yang sempurna untuk melaksanakan Ibadah. Moga dengan sumbangan dan keprihatinan anda semua, Allah s.w.t membalasnya dengan ganjaran pahala yang besar.

Sumbangan boleh dibuat ke akaun Maybank – 5628 3463 6228 (Rujukan: Demi Surauku) atau layari www.sedekahsini.com atau juga boleh hubungi kami di talian 019-6115 954 untuk maklumat lanjut.

Gambar: Bacaan doa oleh Mufti Sabah Datuk Ustaz Bungsu (5 dari kiri) ketika sesi lawatan tapak.

(11)

Hantarkan cahaya ke hujung dunia

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>