Hasil sikap jiran ‘jaga tepi kain orang’, keluarga malang patah tangan, hilang pekerjaan dapat bantuan Baitulmal MAIWP

SIKAP jaga tepi kain orang sering membawa konotasi buruk kerana dianggap menyibuk dengan urusan orang lain, walhal sebenarnya konsep ini disalah erti oleh kebanyakan orang. Jika difahami secara positif, hidup bermasyarakat memerlukan kita mengambil kisah kehidupan orang lain khususnya mereka yang terdekat dengan kita seperti jiran dan rakan-rakan.

Dengan adanya sikap sebegini, barulah timbul rasa cakna pada kesusahan orang lain, bukan hanya hidup pentingkan diri tanpa menghiraukan orang sekeliling kerana bimbang dianggap suka jaga tepi kain orang. Apatah lagi dalam keadaan masyarakat yang banyak memerlukan perhatian dan bantuan, sikap ini boleh menyelamatkan sesetengah keadaan.

Inilah yang berlaku pada sebuah keluarga yang ditimpa malang kerana terjejas pendapatan diuji masalah kesihatan. Ketua keluarga tersebut mengalami kecederaan apabila tangannya patah selepas terjatuh ketika mahu pergi ke tempat kerja.

Keluarga ini mempunyai pendapatan tidak menentu untuk menyara enak orang anak di mana ketua keluarga ditimpa kemalangan manakala isteri pula diberhentikan kerja.

Menurut Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP, lelaki itu baru sahaja mendapat pekerjaan sebagai penghantar barang dua minggu sebelumnya selepas diberhentikan kerja sebagai pemandu peribadi pada awal tahun ini, manakala isterinya yang merupakan kerani di sebuah syarikat peralatan elektrik juga turut diberhentikan kerja.

Rezeki mempunyai jiran yang ‘jaga tepi kain orang’, keadaan keluarga ini dilaporkan kepada Skuad Jejak Asnaf, sekaligus membolehkan pihak Skuad turun padang melihat sendiri situasi keluarga ini. Hasil tinjauan, skuad bersetuju menyalurkan keperluan yang boleh membantu meringankan beban yang dihadapi.

Memandangkan pendapatan kini tidak menentu dan perlu menyara enam orang anak yang kesemuanya masih belajar dan belum pernah menerima apa-apa bantuan daripada Baitulmal MAIWP, Skuad mencadangkan supaya keluarga ini dibantu dengan Bantuan Kewangan Bulanan, Sewa Rumah dan Menyelesaikan Hutang serta  bantuan lain yang bersesuaian bagi meringankan beban yang dihadapi.

Gambar: Keluarga yang ditimpa malang ini dikunjungi Skuad Jejak Asnaf setelah mendapat laporan daripada seorang jiran yang sangat prihatin terhadap keadaan keluarga ini.

Hasil sikap jiran ‘jaga tepi kain orang’, keluarga malang patah tangan, hilang pekerjaan dapat bantuan Baitulmal MAIWP

| Semasa, Tumpang Bahu |