Hati-hati dengan mimpi yang datang dari syaitan untuk sesatkan manusia, nilai peribadi pencerita untuk tentukan kebenaran mimpi

BUKAN semua mimpi boleh dijadikan petunjuk kerana Rasulullah SAW telah membahagikan mimpi kepada tiga jenis; iaitu mimpi dari Allah, syaitan dan diri sendiri.

Peringatan Baginda bagi memberi panduan supaya umatnya tidak ditipu syaitan yang sering mencari jalan untuk menyesatkan manusia secara tidak langsung dan tanpa sedar apabila cara langsung tidak berhasil memesongkan mereka.

Dakwaan mimpi seseorang yang mampu digambarkan secara terperinci seperti mengakui pernah berjalan di sekeliling Arasy Allah, melihat ketinggian Allah, bercakap dengan malaikat malah Allah dikatakan secara langsung dan sebagainya perlulah diteliti kesahihannya.

Menurut Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM, dalam sebuah riwayat yang direkodkan oleh al-Imam Muslim, Rasulullah bersabda: “Dan mimpi itu tiga jenis; mimpi yang soleh iaitu berita gembira dari Allah, mimpi yang datang dari syaitan untuk mengundang rasa sedih manusia dan mimpi yang datang dari dalam diri manusia sendiri.” (HR Muslim).

“Dalam hadis ini Rasulullah menjelaskan bahawa ada mimpi yang datang dari Allah. Ia seperti yang berlaku dalam peristiwa Nabi Yusuf dan mimpi Nabi Ibrahim. Mereka datang dengan syariat yang benar,” kata beliau dalam saluran Telegramnya.

Manakala bagi mereka yang melihat mimpi yang baik pula dinasihatkan agar hanya menceritakannya kepada orang yang dipercayainya sahaja atau meminta pandangan dan nasihat daripada orang alim yang mempunyai ilmu yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Sheikh Salman Audah pula berkata, “Dan terkadang mimpi dalam tidur itu datang dari syaitan di mana ia merencana sesuatu yang boleh membawa iktikad (kepercayaan) di sisi manusia,” bagi mengingatkan umat Islam tentang tabiat syaitan yang sentiasa berusaha menjauhkan manusia dari al-Quran dan Hadis.

Dr Ahmad juga memetik sebuah cerita tentang seorang Arab Badawi yang pernah melihat mimpi yang buruk dalam tidurnya lalu dia mengadukan perkara itu kepada Rasulullah. Rasulullah lantas berpesan bahawa mimpi yang buruk jangan diceritakan dan jangan dilayan mainan syaitan dalam mimpi.

Sabda Rasulullah yang bermaksud; “Jangan ceritakan kepada manusia tentang permainan syaitan dalam mimpi kamu.” (HR Muslim)

Manakala bagi mereka yang melihat mimpi yang baik pula dinasihatkan agar hanya menceritakannya kepada orang yang dipercayainya sahaja atau meminta pandangan dan nasihat daripada orang alim yang mempunyai ilmu yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Untuk menilai kebenaran sesuatu mimpi yang disampaikan seseorang itu pula, beliau menyarankan supaya membuat penilaian kepada sosok peribadi seseorang itu sendiri.

“Seandainya dia orang yang soleh dan sentiasa berkata benar dan jujur, maka ada kebarangkalian mimpinya itu adalah benar. Namun andai sekiranya dia tidak menampakkan ciri orang yang soleh, dan mengajak manusia kepada kesesatan, maka ada kebarangkalian dia berdusta,” pesan beliau.

Mimpi juga bukanlah sesuatu yang boleh dibangunkan daripadanya hukum syariat kerana menurut Sheikh Mulla Ali al-Qari, pensyariatan melalui mimpi hanya dikhususkan kepada para Nabi sahaja.

Gambar hiasan: 99.co

Hati-hati dengan mimpi yang datang dari syaitan untuk sesatkan manusia, nilai peribadi pencerita untuk tentukan kebenaran mimpi

| Agama, Semasa |