Hilang ibu bapa sewaktu masih kanak-kanak, dua beradik bahagia tumpang kasih nenek walau hanya makan telur goreng

DUA beradik ini seakan tidak mengerti keperitan hilang ibu tersayang sekelip mata dalam usia yang masih mentah apabila wanita yang melahirkan mereka maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya pada tahun 2008.

Lebih malang, empat tahun selepas pemergian ibu mereka, Linafsha Arnia Mohd Asni, 16, dan abangnya Muhammad Aftarihan Arnia, 17, hilang tempat bergantung apabila bapa mereka Mohd Asni Hussin, pulang menghadap Ilahi ketika berusia 32 tahun.

Kedua-dua remaja ini yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang kini bergantung hidup dan menumpang kasih nenek mereka, Kamariah Mat Ali, 73, selepas menjadi yatim piatu. Biarpun perit kehilangan orang tua, namun mereka bersyukur kerana masih mempunyai nenek untuk menumpang kasih. Mereka dilayan seperti menatang minyak yang penuh.

Kamariah yang mesra dipanggil ‘mak’ oleh kedua-dua beradik ini berjanji akan menjaga mereka selagi kudratnya masih ada. Beliau juga berjanji tidak akan memisahkan kedua-dua cucunya itu walau sesukar manapun kehidupan mereka.

Linafsha Arnia dan Muhammad Aftarihan Arnia membelek gambar kenangan bersama kedua-dua ibu bapa untuk melepaskan kerinduan.

Biarpun tidak lagi mampu bekerja sebagai pencanting batik atas faktor usia dan masalah kencing manis, namun Kamariah tetap menjaga kebajikan cucu-cucunya. Segala keperluan makan minum dan pelajaran mereka mencukupi biarpun Kamariah hanya mampu menghidangkan nasi putih berlaukkan telur goreng sahaja.

Wanita berusia lebih separuh abad ini bersyukur kerana kedua-dua cucunya itu memahami dan tidak pernah merungut, sebaliknya makan dengan penuh selera seolah-olah telur goreng itu makanan paling enak di dunia.

Kamariah berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin untuk menjaga keperluan Linafsha Arnia dan Muhammad Aftarihan Arnia demi memenuhi amanah yang ditinggalkan arwah anak dan menantunya sehingga akhir hayat walaupun kehidupan mereka bertiga hanya sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 71 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Linafsha Arnia dan abangnya Muhammad Aftarihan Arnia, kini bergantung hidup dan menumpang kasih nenek mereka, Kamariah selepas menjadi yatim piatu.

(4)

Hilang ibu bapa sewaktu masih kanak-kanak, dua beradik bahagia tumpang kasih nenek walau hanya makan telur goreng

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>